SEORANG lelaki berusia 21 tahun maut selepas dipercayai ditikam rakan sekerjanya dalam kejadian pada Jumaat lalu.Mangsa, Heri Hermansyah disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di leher selepas berlaku perselisihan faham dengan suspek berusia 18 tahun ketika berada di dalam lori membawa muatan ayam. Kejadian dilaporkan berlaku di daerah Dempo Selatan, Kota Pagar Alam di Indonesia.Menurut Ketua Seksyen Hubungan Masyarakat, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pagar Alam, Mansyur, mangsa ditikam berulang kali di bahagian leher oleh rakannya itu menggunakan sebilah pisau.Difahamkan, emosi kedua-duanya memuncak sebelum suspek bertindak luar kawalan menyebabkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.Suspek dipercayai memasukkan mangsa ke dalam karung guni sebelum insiden itu dimaklumkan kepada majikan mereka.Suspek yang merupakan warga Rejang Lebong, Bengkulu kini ditahan di IPD Pagar Alam untuk tindakan lanjut.Mayat mangsa pula dibawa ke Hospital Besemah Pagar Alam bagi tujuan bedah siasat.Polis turut merampas beberapa barang bukti termasuk sebilah pisau bergagang kayu bersarung kulit, dua telefon bimbit milik mangsa dan suspek, sebuah kenderaan pikap, guni jenis plastik serta pakaian mangsa.Kes kini disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah IPD Pagar Alam dan suspek disiasat mengikut Pasal 468 Ayat 2 Undang-Undang No 1 Tahun 2023 berkaitan penganiayaan berat sehingga menyebabkan kematian. -Agensi