suria

Lelaki belasah anak tiri umur 12 tahun hingga maut

Polis sedang giat memburu suspek. -Foto Hindustan News

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun maut, dipercayai dibunuh dengan kejam oleh bapa tirinya sendiri.

Mangsa yang merupakan pelajar Tingkatan Satu ditemukan tidak bernyawa di kawasan semak berhampiran persimpangan Shastri Park di Delhi, India, pada pagi Jumaat dengan kecederaan parah di bahagian kepala, muka dan mata.

Menurut polis, kejadian terbongkar selepas ibu mangsa menerima satu rakaman video melalui WhatsApp daripada nombor tidak dikenali yang memaparkan keadaan menyayat hati anaknya.

Dalam rakaman tersebut, suspek didakwa mengaku melakukan pembunuhan selain mengugut mangsa dan menyuruh wanita itu mengambil mayat anaknya.

Bertindak atas maklumat, polis mengesahkan kes diklasifikasikan sebagai pembunuhan dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 103(1) Bharatiya Nyaya Sanhita.

Tambahnya, usaha mengesan suspek yang bekerja sebagai pemandu e-beca sedang giat dilakukan.

Terdahulu, ibu mangsa mendakwa suaminya yang juga bapa tiri kanak-kanak itu telah mengambil mangsa bersama dua abang tirinya dari sekolah pada Khamis sebelum membawa seorang lagi anaknya pulang dari permainan bola sepak pada sebelah petang.

Dakwanya, suspek bertindak membunuh mangsa selepas berlaku pertengkaran apabila wanita itu meminta dia keluar dari rumah mereka.

Pada masa sama, wanita itu mengakui dirinya pernah membuat laporan berkaitan keganasan rumah tangga terhadap suspek, namun menarik balik aduan tersebut.

Ia berikutan suspek ketika itu melafazkan janji bahawa tidak akan mencederakan dirinya dan anak-anak.

Abang mangsa pula mendakwa keganasan fizikal yang diterima berpunca daripada perasaan benci suspek dengan status anak tiri. -Agensi

Artikel Lain