suria

Tertekan dibayangi dosa membunuh, suspek serah diri selepas sebulan sembunyi dalam hutan

Supriyadi keluar dari hutan selepas sebulan bersembunyi. -Foto polis Lampung

SEORANG lelaki yang tidak tahan hidup bersembunyi di dalam hutan selepas terlibat dalam kes bunuh akhirnya menyerah diri kepada polis pada 23 Januari lalu.

Suspek, Supriyadi, 45, dikatakan mengalami tekanan psikologi yang teruk sepanjang tempoh melarikan diri, selain sering dihantui bayangan mangsa yang dibunuhnya.

Pada 22 Disember tahun lalu mangsa dikenali sebagai Legiman dipercayai diserang secara berkumpulan sebelum ditikam dalam kejadian di Pekon Wates, Pringsewu, Indonesia.

Menurut Ketua Polis Gading Rejo, Inspektor Sugiyanto, suspek merupakan salah seorang daripada tiga individu yang terlibat dalam kejadian tersebut.

Dua lagi suspek ialah Doni Pratama yang menikam mangsa menggunakan pisau dan Nofriyanto yang memegang tubuh mangsa ketika serangan berlaku.

Kata Sugiyanto, suspek ditahan selepas dia keluar dari hutan dan berjalan kaki ke kampung terdekat sebelum diberkas tanpa melawan.

Hasil siasatan mendapati sepanjang tempoh bersembunyi, suspek hanya bergantung kepada hasil hutan seperti pisang, betik dan ubi kayu untuk mengalas perut.

Tambahnya, tekanan perasaan, keletihan dan rasa takut terutama pada waktu malam ketika bersendirian di dalam hutan menyebabkan suspek akhirnya mengambil keputusan meninggalkan lokasi persembunyian.

Suspek berjalan kaki selama kira-kira tiga hari sebelum terserempak dengan seorang penduduk di sebuah pondok kebun yang kemudian membantunya keluar ke kawasan perkampungan sebelum diberkas polis.

Laporan mengenainya dikeluarkan pada Jumaat bagi memaklumkan perkembangan terkini penahanan suspek yang sebelum ini diburu pihak berkuasa. -Agensi

Artikel Lain