MISTERI kematian seorang wanita yang sedang hamil lapan bulan di bilik mandi sebuah rumah tumpangan akhirnya terungkai apabila polis menahan sepasang suami isteri.Kejadian dilaporkan berlaku berhampiran Terminal Harjamukti di Bandar Cirebon, Jawa Barat di Indonesia. Ketua Polis Bandar Cirebon, Eko Iskandar berkata, mangsa berusia 26 tahun disahkan meninggal dunia selepas menjadi mangsa keganasan seorang lelaki berusia 26 tahun dan isterinya, 41.Difahamkan, kedua-dua suspek dipercayai merancang untuk merompak harta mangsa.Siasatan awal mendapati, kejadian bermula apabila suspek lelaki menempah perkhidmatan urut melalui aplikasi pada awal pagi 12 Mac lalu.Mangsa kemudiannya tiba di rumah tumpangan dua tingkat itu dengan ditemani seorang rakan lelaki.Sebelum ketibaan mangsa, isteri suspek dilaporkan berpindah sementara ke bilik bersebelahan sebagai sebahagian daripada rancangan jenayah mereka.Sebaik mangsa memasuki bilik, suspek didakwa terus menyerangnya sehingga berlaku pertengkaran. Lebih menambah rasa sedih apabila rayuan mangsa untuk tidak dibunuh kerana sedang hamil lapan bulan tidak diendahkan suspek."Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia dalam keadaan hamil lapan bulan, sekali gus menjadikan kes ini sangat tragis," kata Eko ketika ditemui media pada Selasa.Selepas mangsa meninggal dunia, suspek menghubungi isterinya sebelum mereka bersama-sama memindahkan mayat ke bilik mandi seterusnya mengikat tubuh mangsa menggunakan kain dan menutupnya dengan timbunan pakaian.Keputusan bedah siasat awal mendapati mangsa mati akibat dicekik di bahagian leher.Selain membunuh, pasangan itu turut melarikan beberapa barangan milik mangsa termasuk wang tunai sekitar Rp83,000 (kira-kira RM19) serta sebuah telefon bimbit yang kemudian dijual pada harga Rp73,000 (kira-kira RM16).Kedua-dua suspek cuba melarikan diri ke arah Majalengka, namun berjaya diberkas polis di dalam sebuah bas kira-kira tiga jam selepas kejadian.Susulan itu, mereka didakwa mengikut Artikel 338 dan 340 Kanun Jenayah Indonesia berkaitan pembunuhan dan pembunuhan terancang, selain Artikel 365 mengenai kecurian dengan kekerasan serta Artikel 351 berhubung kesalahan mencederakan.Polis kini masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti keseluruhan motif serta kronologi lengkap kes pembunuhan berkenaan. -Agensi