suria

Baru balik terima bantuan Aidilfitri di masjid, dua anak yatim putih mata diragut individu bermotosikal

Suspek yang menaiki motosikal dilihat menghampiri mangsa dan bertanya mengenai bantuan yang diterima mereka.

KEGEMBIRAAN dua beradik selepas menerima sumbangan untuk persiapan Aidilfitri bertukar hiba selepas mereka diragut individu bermotosikal.

Dalam kejadian pada Selasa, Alim yang berusia 10 tahun dan Rama, 8, sedang dalam perjalanan pulang selepas menerima sumbangan di Masjid Al Ikhlas, Pekanbaru di Riau, Indonesia.

Masjid berkenaan terletak hanya kira-kira 500 meter dari rumah mereka.

Menurut Ahli Dewan Perwakilan Rakyat Daerah Pekanbaru, Zulkardi, setiap seorang daripada mereka menerima sumbangan sebanyak 1.5 juta rupiah (RM345). 

Ketika dalam perjalanan pulang, suspek yang menaiki motosikal menghampiri mangsa yang kematian bapa dan bertanya mengenai bantuan diterima mereka.

Zulkardi (tengah) menziarahi dan membawa kedua-dua adik beradik itu untuk diberikan bantuan. 

Suspek kemudian beredar sebelum kembali semula dan bertindak meragut sampul berisi wang yang dipegang oleh Alim.

Alim meluahkan rasa kecewa atas kehilangan wang tersebut kerana dia bercadang menyerahkannya kepada ibunya yang bekerja sebagai tukang masak di kantin.

Susulan itu Zulkardi menziarahi kedua-dua mangsa di rumah lalu membawa mereka keluar untuk diberikan bantuan lain.

Sementara itu, Ketua Siasatan Jenayah Polis Daerah Pekanbaru, Anggi Rian Diansyah berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung kes tersebut. -Agensi

Artikel Lain