suria

Tindakan melawan selamatkan remaja dicabul, suspek hampir tanggalkan seluar dalam mangsa

Golongan remaja dan wanita sering menjadi mangsa gangguan seksual. -Gambar hiasan

POLIS di Sapporo, Jepun sedang memburu seorang lelaki yang disyaki cuba melakukan serangan seksual terhadap seorang remaja perempuan ketika mangsa berjalan di laluan pejalan kaki di daerah Kiyota pada Ahad.

Menurut laporan NTV, kejadian berlaku kira-kira pukul 7.30 malam apabila mangsa yang berusia awal belasan tahun dihampiri suspek dari arah belakang.

Pihak polis memaklumkan lelaki terbabit bertindak memegang pinggang mangsa sebelum cuba menanggalkan seluarnya.

Bagaimanapun, mangsa melawan menyebabkan suspek gagal meneruskan perbuatannya.

Tindakan mangsa membuatkan suspek melarikan diri dengan berjalan kaki ke arah utara.

Mangsa dilaporkan berlari pulang ke rumah sebelum memaklumkan kejadian kepada ibunya yang kemudian menghubungi talian kecemasan 110.

Polis berkata, suspek digambarkan sebagai lelaki lewat usia remaja, berketinggian kira-kira 170 sentimeter, bertubuh kurus serta memakai jaket tebal dan seluar berwarna hitam.

Ketika ini, pihak berkuasa sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan sekitar bagi mengenal pasti identiti suspek. -Agensi

Artikel Lain