suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Andy Teh pesan pelajar jangan abai akademik jika mahu jadi selebriti

Andy menganggap pelajaran sangat penting untuk seseorang.

PELAKON Andy Teh menasihati golongan pelajar agar tidak mengabaikan pelajaran semata-mata mahu mengejar populariti segera sebagai pempengaruh atau selebriti.

Andy, 41, berkata, meskipun segulung ijazah bukan syarat wajib untuk melangkah ke dalam industri hiburan, ilmu pengetahuan tetap menjadi aset paling berharga yang akan kekal bersama seseorang buat selama-lamanya.

Jelasnya, tidak salah untuk anak muda memasang impian bergelar anak seni, namun pendidikan tetap perlu diutamakan.

Andy tidak galakkan seseorang tinggalkan pelajaran hanya untuk populariti. 

“Memang tidak salah kalau mereka ada cita-cita hendak menjadi pelakon atau selebriti, teruskan. Tetapi pastikan pendidikan jangan ditinggalkan, itu sangat penting.

“Pada saya, tindakan mengetepikan pembelajaran itu tidak patut kerana pendidikan sangat penting dan akan mengikut anda selama-lamanya. Ilmu itu tidak boleh dibeli, anda perlu belajar dan berusaha mendapatkannya.

“Kita pun tahu sekarang era digital, kalau hendak popular pun sekejap sahaja boleh terkenal berbanding artis dahulu yang mengambil masa bertahun-tahun. Tetapi kalau mahu guna platform itu, gunalah dengan cara betul. Buat perkara bermanfaat dan berilmu, jangan sekadar menari sudah jadi popular,” katanya kepada mStar. 

Dalam pada itu, Andy berpandangan kelulusan akademik tinggi merupakan satu kelebihan tambahan buat seseorang penggiat seni meskipun bidang yang dipelajari tidak berkaitan secara langsung dengan dunia lakonan.

ARTIKEL BERKAITAN: Bercinta dengan Chacha Maembong? Andy Teh enggan campur aduk hal peribadi dan kerja

ARTIKEL BERKAITAN: Andy Teh bawa insan tersayang ke set penggambaran, ayah tak mampu tahan sebak

Berkongsi latar belakang dirinya yang memiliki kelayakan dalam bidang sains sukan, dia turut menyarankan mereka yang serius mendalami seni lakon agar mengikuti saluran pendidikan seperti Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

“Sebenarnya tidak perlu dan tidak semestinya kena ada ijazah apa-apa, tetapi kalau ada itu adalah satu bonus bagi saya.

“Macam diri saya sendiri, saya memiliki sijil dalam bidang sains sukan. Bidang itu tiada kena-mengena dengan industri hiburan pun, tetapi saya berada di sini sebagai pelakon.

“Jadi bagi saya kalau ada kelulusan itu bagus, kalau tiada pun tidak mengapa. Cuma kalau mahu menambah atau menimba ilmu dalam bidang ini, saya memang syorkan anda ikut saluran yang betul seperti di Aswara,” ujarnya.

Andy merupakan graduan Sains Sukan. 

Sementara itu, ditanya mengenai kebimbangan sekiranya selebriti yang tidak menamatkan persekolahan memberi pengaruh kurang baik kepada generasi muda, Andy meminta masyarakat menilai perkara tersebut dari sudut lebih positif.

“Anda kena lihat juga, katalah artis itu tidak habiskan sekolah tetapi sekarang dia berjaya, itu juga ada sisi berbeza untuk ditunjukkan.

“Maksudnya bukan dia tidak mahu habiskan persekolahan dahulu, tetapi kejayaan sekarang menjadi titik perubahan untuk dia berfikir bahawa jika diberi peluang dahulu, dia mahu belajar rajin-rajin. Namun hari ini dia berjaya disebabkan usaha kerasnya sendiri,” jelasnya.

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain