PELAKON Andy Teh mengambil pendekatan untuk mengunci mulut dan enggan mengulas lanjut mengenai desas-desus yang mendakwa dirinya menjalin hubungan cinta bersama Chacha Maembong.Andy, 41, menegaskan bahawa dia memilih untuk tidak mencampuradukkan urusan peribadi dengan kerjaya seni. “Saya memilih untuk tidak berkongsi mengenai hal peribadi ketika ini dan mahu memberi tumpuan terhadap kerjaya seni.“Kepada peminat, kalau betul-betul minat saya dalam bidang seni, tolonglah terus sokong. Hal-hal peribadi saya letak tepi.Andy (kanan) dan Chacha dilihat hadir berdua ke sebuah acara.“Namun, saya sedar setiap orang mempunyai ruang untuk bercakap dan menyuarakan pendapat masing-masing. Jadi, tidak boleh menyalahkan sesiapa jika ada yang bercakap mengenai hal tersebut,” katanya kepada mStar.Sebelum ini, spekulasi hubungan istimewa antara Andy dan Chacha kembali menjadi bualan selepas mereka berdua dilihat hadir bersama ke sebuah acara yang berlangsung di taman tema air popular.Dalam perkembangan lain, Andy meluahkan rasa syukur apabila hasil kerja kerasnya selama bertahun-tahun dalam industri seni akhirnya membuahkan hasil selepas dicalonkan dalam Festival Filem Malaysia (FFM) ke-35.ARTIKEL BERKAITAN: “Andy Teh kawan yang baik” – Chacha Maembong belum fikir soal jodoh, lebih fokus kerjayaARTIKEL BERKAITAN: [V] Chacha Maembong miliki ciri-ciri idaman, Andy Teh tidak menolak jika bertemu jodohMenerusi naskhah Abah Saya Uncle Mike, Andy berjaya menempatkan diri dalam kelompok lima terbaik bagi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.“Saya sangat bersyukur dapat tercalon dalam kelompok lima terbaik dan itu sudah cukup bermakna buat saya.“Saya anggap pencalonan ini sebagai satu kemenangan kerana sudah bertahun-tahun menyertai FFM, tetapi ini adalah kali pertama nama saya tercalon,” ujarnya.Andy bersyukur namanya tercalon Top 5 FFM35.Menyentuh mengenai peluang menjulang trofi berprestij itu, Andy enggan meletakkan tekanan pada dirinya dan menyerahkan segala keputusan kepada ketentuan rezeki.“Soal kemenangan itu kita serahkan kepada Tuhan. Kalau menang, itu rezeki. Tetapi bila dapat tercalon dalam kelompok lima terbaik pun sudah cukup membanggakan.“Kita perlu sentiasa berfikiran positif kerana persaingan tahun ini memang hebat dan semua calon mempunyai kelebihan masing-masing. Saya sudah berikan yang terbaik dan apabila usaha ini mendapat pengiktirafan Top 5, itu sudah memadai,” katanya.