suria

Tukar lemak dengan daging lembu! Kempen gaya hidup sihat dapat sambutan, turun berat 500 g pun ada ganjaran

Sebuah komuniti menawarkan ganjaran daging jika berjaya menurunkan berat badan. -Gambar hiasan AI

GANJARAN daging lembu menanti kepada penduduk yang berjaya menurunkan berat badan menerusi kempen kesihatan unik dikenali sebagai lemak ditukar daging.

Di bawah kempen itu, peserta akan menerima ganjaran berdasarkan jumlah berat badan yang berjaya diturunkan. 

Setiap pengurangan sebanyak 0.5 kilogram (kg) berat badan melayakkan peserta menerima 0.5kg daging lembu atau 1.5kg tulang lembu, manakala penurunan lebih besar menawarkan ganjaran lain seperti ekor, lidah dan organ dalaman haiwan berkenaan.

Inisiatif tersebut diperkenalkan Komuniti Shanbei di wilayah Jiangsu, China dengan tujuan menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan penduduk setempat.

Lebih 2,400 individu mendaftar dalam tempoh tiga hari selepas kempen itu diumumkan di media sosial pada 9 Mac lalu.

Bagaimanapun, penyertaan hanya dibuka kepada penduduk yang bekerja serta mencarum insurans sosial atau perubatan di kawasan tersebut.

Peserta juga perlu mempunyai indeks jisim badan (BMI) melebihi 23 serta ukuran pinggang tertentu bagi melayakkan penyertaan.

Walaupun menawarkan ganjaran menarik, pihak berkuasa turut memberi amaran agar peserta tidak menggunakan kaedah pelangsingan ekstrem seperti pengambilan pil diet atau cara tidak sihat yang boleh menjejaskan kesihatan.

Kempen tersebut dilaksanakan selari dengan usaha kerajaan pusat China meningkatkan kesedaran pengurusan berat badan dan mengurangkan risiko penyakit kronik dalam kalangan rakyatnya. -Agensi

Artikel Lain