suria

Jeritan dari tingkat tiga bongkar tragedi berdarah… Isteri maut ditikam suami!

Insiden disedari jiran mangsa.

 

SEORANG wanita warga asing berusia 27 tahun maut selepas dipercayai ditikam suaminya sendiri dalam satu kejadian di Mersin, Turkiye.

Susulan itu suspek ditahan pihak berkuasa bagi membantu siasatan, manakala dua anak pasangan itu diambil dan diletakkan di bawah jagaan perlindungan pihak berkuasa.

Mangsa dikenali sebagai Shaimas Abdi, seorang wanita warga Syria dan ibu kepada dua cahaya mata. 

Kejadian dilaporkan berlaku di tingkat tiga sebuah bangunan pangsapuri lima tingkat di Jalan Çakmak, daerah Akdeniz, kawasan Nusratiye.

Berdasarkan laporan, polis dan pasukan perubatan bergegas ke lokasi selepas menerima aduan jiran yang terdengar bunyi mencurigakan dari kediaman pasangan berkenaan.

Pemeriksaan di dalam rumah menemukan mangsa dalam keadaan berlumuran darah di bilik tidur dengan kesan tikaman pada bahagian dada kiri serta beberapa kecederaan tikaman lain di seluruh badan. 

Pasukan perubatan kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.

Susulan insiden itu, Unit Siasatan Pembunuhan melancarkan operasi sebelum menahan suami mangsa, Abdulmuti Abdi, 34.

Hasil soal siasat awal mendapati suspek mengaku menikam isterinya ketika berlaku pertengkaran, selain memaklumkan hubungan mereka dikatakan mengalami konflik serius sejak sekian lama.

Polis turut merampas pisau dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut berdasarkan petunjuk diberikan suspek. 

Siasatan juga mendapati lelaki itu dipercayai membasuh darah di tangannya di sebuah pancuran air masjid berhampiran selepas kejadian.

Sementara itu, dua anak kecil pasangan berkenaan yang berada di rumah jiran ketika kejadian telah dibawa oleh pasukan Jabatan Perlindungan Kanak-Kanak untuk tindakan lanjut sebelum diserahkan kepada institusi berkaitan.

Kes kini masih dalam siasatan lanjut pihak berkuasa. -Agensi

Artikel Lain