suria

Janji manis beli gula-gula bertukar mimpi ngeri… Budak perempuan 4 tahun maut akibat ditembak

Suspek mengaku bersalah selepas ditahan untuk soal siasat. -Gambar hiasan

 

SEORANG lelaki yang disyaki membunuh kanak-kanak perempuan berusia empat tahun, ditahan selepas berlaku insiden berbalas tembakan dengan pihak polis.

Kejadian dilaporkan berlaku di kawasan Nandgram, India.

Suspek dikenali sebagai Gaurav Prajapati, 24, ditahan kira-kira pukul 3 pagi Rabu dan polis turut merampas sepucuk pistol buatan sendiri, dua kelongsong peluru yang telah digunakan serta sebutir peluru hidup daripadanya.

Menurut Penolong Pesuruhjaya Polis Nandgram, Ziauddin Ahmed, laporan bedah siasat mangsa masih belum diperoleh, namun pemeriksaan awal mendapati terdapat beberapa kesan tembakan dipercayai daripada senjata api jenis 12 bore pada tubuh kanak-kanak itu.

Terdahulu, pihak polis menerima maklumat sekitar pukul 9 malam Isnin mengenai seorang kanak-kanak yang ditemukan dalam keadaan cedera di sebuah kawasan lapang. 

Mangsa kemudian dibawa ibu bapanya ke hospital berhampiran sebelum disahkan meninggal dunia akibat kecederaan dialami.

Keluarga mangsa memaklumkan bahawa suspek yang juga jiran mereka membawa kanak-kanak tersebut keluar pada petang hari sama dengan alasan mahu membelikan gula-gula, namun mangsa tidak pulang selepas itu.

Bertindak atas maklumat berkenaan, polis menahan suspek untuk siasatan dan lelaki itu dipercayai mengaku melakukan perbuatan tersebut ketika disoal siasat.

Menurut polis, ketika operasi mencari bahan bukti dijalankan, suspek didakwa melepaskan tembakan ke arah anggota polis menggunakan senjata api yang disembunyikan di kawasan semak selepas kejadian.

Pihak polis kemudian membalas tembakan sebagai tindakan mempertahankan diri, menyebabkan suspek cedera pada kedua-dua kaki sebelum dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 103(1) berkaitan bunuh serta Seksyen 238(A) kerana memusnahkan bukti dan memberikan maklumat palsu di bawah Bharatiya Nyaya Sanhita.

Polis turut memaklumkan bahawa peruntukan di bawah Akta Perlindungan Kanak-Kanak daripada Kesalahan Seksual (POCSO) serta pertuduhan rogol akan ditambah sekiranya siasatan mengesahkan berlaku serangan seksual, selain kemungkinan dikenakan peruntukan di bawah Akta SC/ST. -Agensi

-Agensi

Artikel Lain