suria

Jenazah Jalil Hamid selamat dikebumikan, rakan artis hadir beri penghormatan terakhir

Pemergian Jalil ditangisi rakan dan ahli keluarga.

JENAZAH pelakon veteran, Jalil Hamid selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam, Selangor sekitar pukul 6.30 petang, Isnin.

Kira-kira 300 orang terdiri daripada ahli keluarga, rakan artis dan kenalan hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Suasana sayu menyelubungi tanah perkuburan apabila sebahagian besar yang hadir dilihat tidak dapat menahan sebak mengenang jasa serta sumbangan arwah sepanjang lebih empat dekad bergelar anak seni.

Datuk M Nasir, Rahmad Mega, Abon serta Herman Tino turut hadir penghormatan terakhir.

Antara rakan artis yang hadir ialah Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Datuk Hattan, Datuk M. Nasir, Nabil Ahmad, Sabri Yunus, Abon, Tam Spider, Azrul Raja Lawak, Datuk Fizz Fairuz serta Datuk Afdlin Shauki.

Turut mengiringi perjalanan akhir arwah ialah Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac dan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.

Jalil menghembuskan nafas terakhir di kediamannya sekitar pukul 12.30 tengah hari.

ARTIKEL BERKAITAN: Azlee kenang jasa Jalil Hamid bentuk Senario, rakan artis menangis dapat tahu berita pemergian

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Hasrat Jalil Hamid mahu tunai haji tak kesampaian, anak kongsi detik terakhir bersama arwah bapa

Jenazah Allahyarham kemudiannya dimandikan dan disolatkan di Masjid Al Munawwarah, Shah Alam, sebelum dibawa ke tanah perkuburan bagi urusan pengebumian.

Sepanjang hayatnya, Jalil dikenali sebagai pelakon berkaliber yang banyak membintangi drama dan filem tempatan dengan pelbagai watak berkesan, sekali gus meninggalkan legasi besar dalam industri hiburan tanah air.

Pemergian Allahyarham dianggap satu kehilangan yang besar.

Memulakan karier pada awal tahun 80-an, Jalil terkenal dengan beberapa buah lagu antaranya Ayam, Raya dan Makan. 

Dia juga pernah membintangi filem popular seperti Baginda ditayangkan pada tahun 1997, Zombi Kampung Pisang (2007), Men Who Save the World (2014), dan Bisik Pada Langit (2017).

Jalil pernah memenangi beberapa anugerah termasuk Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi filem Baginda di Festival Filem Malaysia ke-13 dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama (Calon Syurga) di Anugerah Skrin 2016.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain