suria

Jalil Hamid tolak tawaran berlakon di Indonesia, Tarmimi Siregar sifatkan arwah lembut tutur kata tapi tegas berprinsip

Tarmimi imbau kembali perbualan terakhir bersama arwah.

PEMERGIAN pelakon veteran, Allahyarham Jalil Hamid, turut dirasai rakan seindustri antaranya Datuk Ahmad Tarmimi Siregar yang menyifatkan arwah sebagai sahabat berprinsip teguh dalam kerjaya seni.

Mengimbau perbualan terakhir mereka, Tarmimi berkata, dia dan Allahyarham pernah berbincang mengenai tawaran berlakon daripada sebuah produksi di Indonesia.

Bagaimanapun, kedua-duanya sepakat untuk menolak tawaran tersebut demi menjaga prinsip dan maruah diri sebagai anak seni.

Rakan-rakan artis hadir memberi penghormatan terakhir.

“Ada satu kali dia telefon saya bertanya bagaimana mahu berdepan dengan produksi Indonesia. Kami berdua terima tawaran dari sana, tapi akhirnya kami tak ‘closed deal’ sebab soal harga diri.

“Jadi kami berdua sama-sama tak buat projek di sana. Belum ada rezeki, tapi tak apa, kami lebih menghormati harga diri kami,” katanya kepada mStar.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan pengalaman serta nilai diri dalam industri lakonan.

ARTIKEL BERKAITAN: Jalil Hamid meninggal dunia dalam tidur

ARTIKEL BERKAITAN: Jenazah Jalil Hamid selamat dikebumikan, rakan artis hadir beri penghormatan terakhir

“Bayaran tak padan dengan tawaran. Bukan kita sombong, cuma soal harga diri. Tawaran itu bagus,” jelasnya.

Dalam pada itu, Tarmimi memberitahu dia juga ada menghubungi arwah bagi bertanya khabar selepas pelancaran lagu baharu anaknya iaitu Afiqah.

“Waktu itu lagu baharunya baru sahaja keluar. Saya ada tanya dia, ‘kau buat lagu baru ke?’

Dia seorang yang sangat berprinsip.

DATUK TARMIMI SIREGAR

PELAKON

“Dia beritahu dia rakam lagu itu bersama anaknya, Afiqah. Itu kali terakhir saya berhubung dengannya,” katanya.

Berkongsi keperibadian arwah, Tarmimi mengakui sangat mengagumi ketegasan Allahyarham meskipun Jalil dikenali sebagai seorang yang lemah lembut.

“Dia seorang yang sangat berprinsip. Kadang-kadang saya sendiri takut dengan prinsip dia.

Ahli keluarga dan rakan anggap satu kehilangan yang besar.

“Walaupun dia lembut tidak menjerit-jerit macam saya, tapi bila melibatkan prinsip, dia sangat keras. Kalau dia kata itu, maka itulah jawabnya,” katanya lagi.

Sebelum ini, Jalil dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di kediamannya sekitar jam 12.30 tengah hari, Isnin.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam, Selangor.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain