suria

Azlee kenang jasa Jalil Hamid bentuk Senario, rakan artis menangis dapat tahu berita pemergian

Azlee sentiasa kenang jasa Jalil Hamid.

PELAWAK Azlee Senario menyifatkan pemergian pelakon veteran Jalil Hamid sebagai satu kehilangan besar buat industri seni tanah air.

Menurut Azlee atau Muhammad Azlee Jaafar, 58, Allahyarham merupakan individu penting dalam pembentukan awal kumpulan Senario sekitar awal tahun 2000.

“Pemergian Allahyarham adalah kehilangan besar untuk industri hiburan yang tiada galang gantinya.

Jalil banyak membantu kumpulan Senario.

“Banyak jasa arwah kepada Senario. Semasa penggambaran sitkom dahulu, dialah yang banyak beri tunjuk ajar seperti cara menggunakan pentas dengan betul, menguasai ruang serta teknik lakonan yang berkesan,” katanya kepada mStar.

Azlee ditemui ketika hadir di Masjid Al-Munawwarah, Shah Alam, Selangor pada petang Isnin.

Berkongsi lanjut, Azlee berkata dia pada awalnya tidak mempercayai khabar duka yang diterima menerusi aplikasi WhatsApp sebelum menghubungi anak Allahyarham, Afiqah Jalil bagi mendapatkan pengesahan.

ARTIKEL BERKAITAN:  Hasrat Jalil Hamid mahu tunai haji tak kesampaian, anak kongsi detik terakhir bersama arwah bapa

ARTIKEL BERKAITAN: Jalil Hamid meninggal dunia dalam tidur

Malah, katanya, dia dan rakan-rakan artis lain turut tidak dapat menahan sebak sebaik menerima berita berkenaan.

“Saya bukan jenis mudah percaya berita di media sosial selagi belum disahkan pihak berkaitan seperti Seniman atau Karyawan.

“Selepas anak arwah sendiri mengesahkan, barulah saya maklumkan kepada rakan-rakan artis lain.

“Tadi saya sempat hubungi rakan-rakan Senario yang lain. Wahid dan Pak Ya kini berada di Ipoh, mereka semua terkejut dan menangis dengan khabar ini," jelasnya.

Orang ramai hadir bagi memberi penghormatan terakhir buat Jalil.

Menurut Azlee, kali terakhir dia bekerjasama dengan Allahyarham adalah beberapa tahun lalu menerusi sebuah drama yang menjalani penggambaran di Kuang, Selangor.

Walaupun mengetahui arwah pernah menghidap penyakit sebelum ini, Azlee berkata mereka tidak menyangka tahap kesihatannya merosot secara mendadak selepas kembali aktif.

Sebelum ini, Jalil dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di kediamannya sekitar pukul 12.30 tengah hari Isnin.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam, selepas solat Asar.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain