SEORANG remaja ditahan selepas didapati menyerang bapa kandungnya menggunakan pisau dapur.Kejadian pada pukul 3.30 pagi Rabu itu berlaku ketika mangsa dipercayai sedang tidur di biliknya di Kompleks Perumahan Rasmi Peruri, Telukjambe Timur, Karawang, Indonesia. Menurut Ketua Perhubungan Awam Polis Karawang, Inspektor Pertama Cep Wildan, mangsa dilaporkan mengalami kecederaan parah selepas ditikam oleh anaknya."Ketika kejadian, mangsa sedang tidur sebelum diserang secara tiba-tiba. Ekoran itu, mangsa mengalami luka serius di bahagian belakang leher serta beberapa bahagian badan lain," katanya.Jelas Wildan, siasatan awal mendapati tindakan suspek dipercayai berpunca daripada mimpi ngeri yang dialaminya.Difahamkan mimpi tersebut berkait rapat dengan trauma serta tekanan emosi terpendam yang berlaku dalam keluarganya."Pelaku terjaga selepas bermimpi buruk melibatkan bapa serta ibunya, pada masa sama dia bimbang sekiranya mimpi tersebut menjadi kenyataan."Susulan itu, dia dikatakan mengambil pisau dapur sebelum menuju ke bilik mangsa," ujar Wildan.Tambahnya, pelaku didakwa menikam mangsa di bawah telinga sehingga terkena bahagian belakang leher.Mangsa yang terjaga dalam keadaan berlumuran darah dilaporkan sempat merangkak keluar sambil menjerit meminta pertolongan sebelum rebah di hadapan rumahnya.Penduduk yang menyadari jeritan mangsa, segera membawanya ke Hospital Primaya untuk rawatan lanjut dan menahan suspek.Polis turut merampas beberapa barangan bukti termasuk sebilah pisau dapur serta pakaian mangsa yang berlumuran darah.Mengulas lanjut, Wildan berkata, siasatan masih dijalankan dan pihaknya belum dapat mengesahkan pertuduhan yang bakal dikenakan terhadap pelaku memandangkan mangsa masih menerima rawatan intensif.Dalam pada itu, beliau mengesahkan motif awal kejadian dipercayai berpunca daripada dendam lama apabila mangsa didakwa kerap melakukan keganasan rumah tangga terhadap isteri serta anak-anaknya.Kes berkenaan kini diklasifikasikan sebagai kes jenayah serius dan berada di bawah pemantauan rapi pihak berkuasa. -Agensi