suria

Akibat tanya pendapat di grup FB ‘Nasihat Guaman Percuma’, wanita rugi RM2 juta! Peguam palsu tawar diri selesai kes tuntutan tanah

Mangsa mengalami kerugian lebih RM2 juta. -Foto Bangkok Post

SEPASANG suami isteri yang didakwa menyamar sebagai peguam ditahan selepas seorang wanita mengalami kerugian sebanyak 16 juta baht (kira-kira RM2 juta) dalam penipuan penyelesaian kes tanah.

Turut ditahan adalah tiga rakan subahat suspek.

Kejadian dilaporkan berlaku di Mae Hong Son, Thailand.

Menurut polis dari balai Mae Sariang, empat daripada lima suspek ditahan di tiga lokasi sekitar Phetchabun manakala seorang lagi suspek sudah ditangkap lebih awal dan merupakan tahanan di Penjara Wilayah Phitsanulok atas tuduhan penipuan.

Polis turut merampas bahan bukti serta aset yang berkaitan dengan kes tersebut termasuk tujuh telefon bimbit, buku akaun bank, kad ATM, sebuah komputer riba, dua buah kereta, sebuah traktor dan dua belas barang kemas.

Tambah polis, dua daripada suspek telah terlibat dalam kes penipuan lain sejak tahun 2022 manakala tiga lagi suspek mengaku memberikan akaun mereka untuk digunakan bagi tujuan pemindahan wang.

Berdasarkan laporan, kes penipuan bermula selepas mangsa meminta nasihat di sebuah kumpulan Facebook 'Nasihat Guaman Percuma daripada Peguam Sukarelawan' pada akhir 2025.

Susulan itu, suspek yang merupakan pasangan suami isteri menyamar sebagai peguam terkemuka dan menghubungi mangsa dalam talian.

Mereka turut mendakwa mempunyai kepakaran dalam undang-undang tanah seterusnya mengatur pertemuan di Chiang Mai dan Mae Hong Son dalam tempoh dua bulan.

Setelah saling berhubung, pasangan itu memujuk mangsa untuk memindahkan wang bagi pembayaran pelbagai perkhidmatan. 

Secara keseluruhannya, 97 transaksi pemindahan berjumlah 15.95 juta baht telah dilakukan meskipun mangsa tidak dimaklumkan tentang tujuan perbelanjaan tersebut.

Lebih mengejutkan apabila mangsa dilaporkan terpaksa menjual rumah dan aset lain untuk membayar bil yang dihantar oleh peguam palsu berkenaan. -Agensi

Artikel Lain