suria

“Mak seronok, tapi kami anak-anak? - Lelaki kongsi rutin sambut raya, rumah diserbu ratusan bekas pelajar ibu

Rumah guru sering menjadi tumpuan bekas anak murid ketika musim perayaan. -Gambar hiasan AI

MEMBESAR sebagai anak kepada seorang guru yang budiman memberi pengalaman luar biasa setiap kali menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Berkongsi cerita di Thread, seorang lelaki berkata kediamannya seperti lokasi acara rumah terbuka apabila dikunjungi ratusan bekas pelajar ibunya.

Menurutnya, ibunya adalah seorang guru yang berkhidmat di sekolah sama sejak mula bekerja sehingga bersara selepas lebih 35 tahun mengajar di sebuah pekan kecil.

Sepanjang tempoh itu, ibunya mendidik puluhan generasi pelajar dengan kebanyakannya mengetahui lokasi rumah keluarganya kerana mereka tidak pernah berpindah sejak dahulu.

Mengemas rumah antara perkara wajib bagi menyambut kehadiran tetamu. -Gambar hiasan AIMengemas rumah antara perkara wajib bagi menyambut kehadiran tetamu. -Gambar hiasan AI

"Bayangkan apabila raya anak murid mak generasi pertama usia 50 tahun pun masih datang beraya. Belum lagi generasi seterusnya. Mak memang suka anak murid dia datang beraya.

"Rumah aku sampai boleh ada empat ruangan lawatan beraya anak murid. Ada ruang tamu luar, ruang tamu santai tengok televisyen, ruang tamu duduk membaca dan ruang meja makan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis 10 tahun tak raya gara-gara bapa ada bini muda, ibu ‘warning’ jangan jumpa mak tiri - “Kau pergi aku haramkan susu aku!”

ARTIKEL BERKAITAN: “Mata jangan jadi lalat, mulut tutup!” - Wanita bagi peringatan ‘makan dalam’, jaga adab atau dibenci masa raya

Tambahnya, sejak pagi telefon rumahnya tidak berhenti berdering dengan panggilan bekas pelajar yang memaklumkan kedatangan mereka.

Situasi berkenaan membuatkan ibunya hampir sepanjang hari berada di dapur kerana ramai bekas pelajar meminta hidangan kegemaran mereka dimasak sendiri oleh guru kesayangan mereka itu.

"Mak seronok memasak... tapi kami anak-anak? Takkan nak tinggalkan mak di rumah dan kami keluar beraya?

"Siapa nak belikan air batu? Tolong beli barang-barang yang habis? Nak mengemas? Nak membasuh?," soalnya.

Walaupun ibunya kelihatan gembira melayan tetamu, dia mengakui sebagai anak-anak, mereka terpaksa mengorbankan peluang beraya ke rumah saudara-mara.

"Jadi setiap raya kami adik-beradik akan bergaduh dengan mak. Anak murid mak memang ramai," katanya.

  • Lelaki kongsi rumahnya dipenuhi bekas pelajar ibunya setiap raya.
  • Ibunya mengajar lebih 35 tahun di sekolah sama.
  • Anak murid datang dari pelbagai generasi untuk beraya.
  • Ibu sibuk memasak, anak-anak bantu urus tetamu.
  • Kisah itu undang pujian netizen terhadap jasa seorang guru.

Disebabkan itu, setiap tahun mereka adik-beradik sering mencadangkan agar sambutan bersama bekas pelajar dibuat pada hari raya kedua atau ketiga dengan persiapan lebih teratur.

"Kami tak mahu mak penat, lepas ni guna katering je. Mak dapat pakai baju lawa-lawa, tak perlu lagi pakai baju biasa memasak pada hari raya," katanya. 

Perkongsian tersebut mengundang perhatian warga maya yang rata-ratanya memuji hubungan erat antara seorang guru dan anak muridnya walaupun selepas puluhan tahun.

"Mesti mak awak guru yang sangat baik kerana dimuliakan sebegini. 

"Alhamdulillah bukan senang orang nak kekal rasa sayang dan hormat, raikanlah tetamu," komen netizen.

Artikel Lain