suria

Kenapa perlu letak duit syiling dalam freezer? Ini petua paling ‘rare’ sebelum balik kampung, elak sekeluarga keracunan makanan

Trik meletakkan duit syiling bertujuan memastikan makanan yang ditinggalkan dalam peti sejuk kekal selamat. -Gambar hiasan AI

KETIKA ini, sudah ramai mula pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga tercinta. 

Bagi yang sedang merancang perjalanan pulang, pastinya pelbagai persiapan dibuat termasuk bagi memastikan kediaman ditinggalkan dalam keadaan selamat. 

Namun dalam kesibukan itu, ada satu perkara kecil yang sering terlepas pandang, iaitu keadaan makanan yang ditinggalkan di dalam peti sejuk dan ruangan sejuk beku.

ARTIKEL BERKAITAN: Mudah sangat ikut petua ni... Lega kuali baru beli tak melekat, makin lancar kerja-kerja di dapur

Justeru, seorang individu tampil berkongsi tip berguna bagi memastikan makanan yang ditinggalkan dalam peti sejuk kekal selamat.

“Sebelum balik beraya dekat kampung berhari-hari nanti jangan lupa letak duit syiling dalam freezer,” tulis individu berkenaan di Threads.

Mungkin kedengaran pelik, namun ia bukan bertujuan ‘menambah’ duit, sebaliknya sebagai penunjuk sama ada berlaku gangguan bekalan elektrik ketika rumah ditinggalkan.

Umum mengetahui, jika gangguan elektrik berlaku, ini boleh memberi kesan kepada makanan seperti ayam, ikan, daging serta pelbagai makanan sejuk beku lain yang disimpan dalam freezer. 

Jika bekalan elektrik terputus dalam tempoh lama, makanan tersebut berkemungkinan cair dan terdedah, sekali gus tidak lagi selamat untuk dimakan.

Berikut merupakan tip yang dikongsikan:

1.    Masukkan kira-kira 3/4 air ke dalam gelas atau bekas lutsinar, kemudian letakkan di dalam freezer sehingga beku.

2.    Setelah air membeku sepenuhnya, letakkan duit syiling di atas permukaan ais tersebut.

3.    Selepas pulang daripada cuti panjang, periksa kedudukan syiling dalam bekas berkenaan.

4.    Jika syiling masih berada di atas, itu petanda ais tidak pernah cair, bermaksud tiada gangguan elektrik sepanjang ketiadaan anda.

5.    Namun, jika syiling berada di bahagian bawah atau tenggelam dalam ais, ini menunjukkan ais pernah mencair sepenuhnya sebelum membeku semula, kemungkinan berlaku gangguan elektrik dalam tempoh yang lama.

Justeru, sekiranya situasi ini berlaku, dinasihatkan agar tidak mengambil risiko dengan memakan makanan di dalam peti sejuk bagi mengelakkan keracunan makanan.

Tip mudah ini mungkin nampak remeh, namun mampu memberi ketenangan kepada anda sepanjang berada di kampung, selain memastikan keselamatan makanan untuk seisi keluarga apabila pulang nanti.

Artikel Lain