suria

Pempengaruh kerja jual kasut didakwa rogol, lakukan amang seksual terhadap dua remaja bawah umur

Mahkamah menetapkan 4 Mac dan 2 April depan untuk sebutan semula kes berkenaan. -Gambar hiasan AI

SEORANG pempengaruh media sosial dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pada Selasa atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja perempuan, bulan lalu.

Tertuduh, Muhammad Iman Hazriq Azizan, 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Tasnim Abu Bakar dan Mohd Kafli Che Ali.

Di hadapan Tasnim, Muhammad Iman Hazriq didakwa merogol remaja perempuan berusia 15 tahun enam bulan ketika kejadian di dalam bilik sebuah kondominium, di Wangsa Maju antara pukul 1 tengah hari hingga 8 malam, 22 Januari lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 375 (g) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376 (1) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Di hadapan Mohd Kafli, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang lagi remaja perempuan berumur 16 tahun bagi tujuan seksual di tempat, masa dan tarikh sama.

Muhammad Iman Hazriq dituduh mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Shakira Aliana Alias menawarkan jaminan masing-masing RM15,000 bagi pertuduhan merogol dan amang seksual dengan syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Selain itu dia perlu melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan, mangsa serta keluarga mangsa sehingga kes selesai.

Peguam Mohamad Akmal Mohd Taufik yang mewakili Muhammad Iman Hazriq memohon supaya jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya masih bujang serta menanggung ibu bapa dan dua adik yang masih bersekolah.

Tertuduh bekerja sebagai jurujual di sebuah kedai kasut dengan pendapatan RM2,000 sebulan. 

Hakim Tasnim dan Mohd Kafli masing-masing membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 4 Mac dan 2 April depan untuk sebutan semula kes.

Artikel Lain