POLIS menahan seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun yang dipercayai anak kepada wanita berusia 52 tahun yang maut ditikam di sebuah rumah di Alor Setar, Kedah.Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, suspek ditahan pada pukul 8.34 malam Isnin hasil operasi Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kedah dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar. Menurutnya, suspek ditangkap ketika menaiki sebuah bas persiaran di KM441.5 arah selatan Lebuhraya Utara Selatan menuju ke Selangor, lapor Sinar Harian.“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau.“Bagaimanapun, ujian saringan awal air kencing ke atas suspek didapati negatif,” katanya pada Selasa.ARTIKEL BERKAITAN: Bekas banduan bunuh ibu, bakar mayat jauh dari rumahSusulan penahanan itu, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar kira kira pukul 8.30 pagi dan direman selama tujuh hari bermula 3 hingga 9 Februari bagi membantu siasatan.Majistret Nur Syifa Mohd Hamzah membenarkan permohonan reman polis bagi tempoh tersebut untuk membolehkan siasatan dijalankan secara menyeluruh.Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.Dia turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan.“Tindakan tegas boleh diambil terhadap mana-mana individu yang menyebarkan maklumat palsu dan mereka boleh disiasat mengikut peruntukan undang undang berkaitan,” katanya.Pada Isnin mangsa yang dikenali sebagai Zahrullail Basir ditemukan meninggal dunia dengan tiga kesan tikaman pada badan termasuk di bahagian perut, serta kesan luka pada kepala dan tapak tangan.