suria

Isu logo Anak-Anak Sidek selesai, Raja Azmi tak jadi hantar LOD

Raja Azmi memberi kerjasama baik dalam pertemuan dengan pemilik jenama kasut berkenaan.

ISU melibatkan penerbit Raja Azmi dengan sebuah jenama kasut tempatan akhirnya selesai selepas berlaku pertemuan secara bersemuka antara kedua-dua pihak pada pagi Selasa.

Raja Azmi, 66, berkata pemilik jenama yang beroperasi di Kota Bharu, Kelantan itu sanggup turun padang bertemu di Kuala Lumpur untuk menerangkan situasi sebenar berhubung penggunaan logo animasi dan komik autobiografi Anak-Anak Sidek.

“Selepas saya buat video di TikTok, pihak mereka terus menghubungi saya dan mengajak untuk berjumpa. Pemilik jenama tersebut sendiri datang dan menjelaskan situasi sebenar.

Raja Azmi turut menerima sepasang kasut yang menggunakan logo Anak-Anak Sidek. 

“Katanya, pihak mereka memang sudah merancang lebih awal untuk menghubungi saya, namun disebabkan salah faham di peringkat dalaman, tiada siapa yang berbincang dengan saya.

“Selepas berbincang secara terperinci, akhirnya saya izinkan mereka menggunakan logo Anak-Anak Sidek. Namun, saya benarkan hanya untuk 3,000 unit kasut sahaja seperti yang telah dicetak,” katanya ketika dihubungi mStar.

Menurut Raja Azmi, dia juga telah meneliti setiap terma dan syarat dalam kerjasama tersebut agar dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya nak saman mereka!” – Raja Azmi terkilan logo Anak-Anak Sidek digunakan tanpa izin 

ARTIKEL BERKAITAN: Raja Azmi kongsi pengalaman pernah jual raket dengan bekas suami kerana masalah dalaman persatuan badminton

Malah, penerbit itu turut meluahkan rasa kagum terhadap kesungguhan pihak berkenaan untuk tampil bersemuka.

“Sebenarnya LOD (surat tuntutan) pun sudah siap sekiranya mereka masih berdiam diri. Tetapi apabila sudah berjumpa, saya anggap perkara ini telah selesai.

“Mereka adalah anak-anak muda yang menjalankan perniagaan. Saya kagum dengan usaha mereka dan pastinya akan sentiasa menyokong produk tempatan.

Hak cipta adalah satu perkara serius, jadi di sebalik isu ini ada hikmahnya

RAJA AZMI 

PENERBIT 

“Dalam masa yang sama, kerjasama ini juga saya anggap sebagai rezeki,” ujarnya.

Sebelum ini, Raja Azmi meluahkan rasa terkilan apabila wujud pihak tidak bertanggungjawab yang didakwa menggunakan logo Anak-Anak Sidek biarpun ia telah didaftarkan secara sah di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) atas namanya.

Malah, dia juga berhasrat untuk mengambil tindakan saman sekiranya tiada sebarang maklum balas daripada jenama kasut berkenaan.

Raja Azmi terbuka dengan mana-mana pihak. 

Mengulas isu ini, Raja Azmi berpendapat ia sedikit sebanyak telah membuka mata mana-mana peniaga agar tidak mengambil jalan mudah dalam mempromosikan produk.

“Hak cipta adalah satu perkara serius, jadi di sebalik isu ini ada hikmahnya. Setiap penggunaan jenama atau logo harus diberi perhatian.

“Saya juga terbuka untuk berkolaborasi dengan mana-mana pihak. Cuma perlu ada perbincangan dan seharusnya mendapat izin saya terlebih dahulu,” jelasnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain