suria

“Saya nak saman mereka!” – Raja Azmi terkilan logo Anak-Anak Sidek digunakan tanpa izin

Raja Azmi tidak mahu orang ambil kesempatan terhadap karyanya.

PENERBIT Raja Azmi Raja Sulaiman meluahkan rasa terkilan apabila wujud  pihak tidak bertanggungjawab yang didakwa menggunakan logo animasi dan komik autobiografi Anak-Anak Sidek terbitannya tanpa kebenaran.

Raja Azmi, 66, berkata dia terkejut apabila mendapati logo yang menjadi hak miliknya digunakan sebagai rekaan pada sebuah jenama kasut tanpa sebarang persetujuan bersama.

“Sudah tentu saya terkejut. Saya langsung tak tahu dan tak pernah beri apa-apa kebenaran untuk logo tersebut digunakan pada kasut.

Logo Anak-Anak Sidek digunakan kasut keluaran terbaharu sebuah jenama.

“Mereka suka hati letak logo itu sedangkan hak cipta Anak-Anak Sidek dipegang oleh saya,” katanya ketika dihubungi mStar.

Menurut Raja Azmi, logo berkenaan telah didaftarkan secara sah di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

"Logo itu memang sudah didaftarkan atas nama Raja Azmi Raja Sulaiman dan ia sudah berlesan," katanya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Raja Azmi kongsi pengalaman pernah jual raket dengan bekas suami kerana masalah dalaman persatuan badminton

ARTIKEL BERKAITAN: Raja Azmi kena peras ugut gara-gara tertekan pautan diragui

Tambahnya, pihak yang terlibat sepatutnya menghubunginya terlebih dahulu bagi mendapatkan kebenaran daripada pemilik asal karya tersebut.

“Bukan susah nak cari saya. Boleh saja hubungi melalui Instagram untuk dapatkan nombor telefon. Sekarang semuanya di hujung jari,” jelasnya.

Berang dengan tindakan tersebut, Raja Azmi memberi tempoh tujuh hari kepada pihak terlibat untuk tampil bersemuka sebelum tindakan undang-undang diambil.

Raja Azmi tegas dengan tindakannya.

“Saya nak saman mereka. Saya beri masa tujuh hari. Kalau tiada sebarang usaha untuk berjumpa dengan saya, tindakan undang-undang akan diteruskan

"Ini bukan kali pertama berlaku, sudah ramai yang ambil kesempatan,”tegasnya.

Sebelum ini, tular sebuah video sebuah jenama kasut yang menggunakan logo Anak-Anak Sidek di produk terbaharu mereka.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain