suria

Niat mahu ‘back up’ disalah tafsir, Mia Sara kagum bakat Puteri Balqis…. Dedah derita ‘anxiety’ teruk sampai cederakan diri

Mia akui kagum dengan bakat yang ada pada Aqish.

DI SEBALIK konflik yang tercetus dengan aktres Puteri Balqis, pelakon Mia Sara menjelaskan dia sebenarnya mengagumi bakat rakan seindustri itu, namun niat baiknya disalah tafsir sehingga mencetuskan salah faham dalam kalangan masyarakat.

Mia atau nama penuhnya Mia Sara Nasuha Muhammad Ridhuan, 21, berkata dia dan Puteri Balqis tidak pernah berhubung secara peribadi, malah konflik yang diperkatakan bermula ketika mereka masih kanak-kanak.

Menurut Mia, keadaan menjadi semakin buruk apabila pelbagai artikel berkaitan isu tersebut mula tersebar sehingga mengundang kecaman terhadap kedua-dua pihak.

Mia mengagumi bakat Puteri Balqis.

“Saya sebenarnya mengagumi Puteri Balqis kerana bakat lakonannya dan melihat apa yang dia lakukan sebagai satu bentuk seni. Namun keadaan disalah tafsir sehingga orang luar menganggap kami seolah-olah sedang bergaduh.

“Sebenarnya kami tidak pernah berhubung secara peribadi. Isu ini berlaku ketika kami masih kanak-kanak, sekitar umur saya tujuh tahun. Tidak masuk akal untuk mengatakan kami mempunyai konflik besar kerana kami hanyalah budak-budak.

“Apabila artikel-artikel mula keluar, keadaan menjadi semakin buruk dan kami berdua menerima kecaman,” katanya.

Mia berkongsi perkara itu menerusi Podcast Kita-Kita Aje! yang dihoskan oleh Datuk Aznil Nawawi dan dimuat naik di saluran YouTube pada malam Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya tak salahkan dia” - Mia Sara akui silap tulis komen, panik tak tahu nak buat apa

ARTIKEL BERKAITAN: Aznil Nawawi tutup ruangan komen, rakaman podcast bersama Mia Sara Nasuha dibuat sebelum isu dengan Puteri Balqis meledak

Bercerita lanjut, Mia menjelaskan dia bertindak sedemikian kerana bimbang Puteri Balqis atau mesra disapa Aqish menerima nasib sama sepertinya apabila menjadi sasaran kecaman netizen.

Bagaimanapun, Mia mengakui cara penyampaiannya ketika itu mengundang salah faham sehingga mencetuskan reaksi balas yang besar daripada masyarakat.

“Beberapa tahun kemudian, ketika saya berumur sekitar 15 tahun, orang ramai mula memuat naik gambar di TikTok dan terus mengecamnya dengan sangat keterlaluan.

“Saya risau dia akan melalui perkara yang sama seperti saya. Niat saya ketika itu hanyalah untuk mempertahankan dan menyokongnya. Saya cuba menyampaikan mesej supaya orang ramai menegur dengan baik dan tidak terus menghukum kerana kita tidak tahu apa yang seseorang itu lalui.

Saya hidup dalam ketakutan, sering bercakap sendirian di tandas, dan pernah berada di titik paling gelap dalam hidup sehingga terlintas untuk mencederakan diri sendiri menggunakan pisau cukur.

MIA SARA NASUHA

PELAKON

“Cara saya bercakap sangat mengundang salah faham dan mengakibatkan reaksi balas yang besar. Isu tersebut menjadi terlalu besar sehingga saya panik.

“Saya pernah terfikir untuk membuat permohonan maaf secara terbuka, namun ayah saya menasihatkan agar saya tidak menulis apa-apa kerana bimbang ia akan memburukkan lagi keadaan,” jelasnya.

Tambah Mia, dia mengambil peluang ini untuk menyampaikan mesej kepada Aqish bahawa dia tidak pernah berniat memburukkan aktres itu dan mengakui dirinya ketika itu masih belum matang.

Namun, aktres itu berkata kecaman yang diterima memberi kesan besar terhadap kesihatan mentalnya sehingga menyebabkan dia mengalami masalah kebimbangan sosial yang serius.

Aznil ketika menemu bual Mia menerusi Podcast Kita-Kita Aje!

“Saya harap mesej saya sampai kepadanya bahawa saya tidak pernah berniat untuk bercakap buruk tentang dirinya. Saya akui ketika itu saya masih muda dan tidak matang. Niat saya hanyalah untuk melindungi, bukan menghina.

“Kecaman yang diterima sangat berat, termasuk daripada ibu bapa orang lain. Saya dicaci dan dihina, malah dikaitkan dengan penampilan saya.

“Apabila Twitter menjadi kecoh, keadaan mental saya semakin merosot. Saya merasakan semua orang membenci saya,” ujarnya.

Isu konflik Mia dan Aqish jadi bualan hangat netizen.

Lebih menyedihkan, Mia mendedahkan dia pernah berada di titik paling gelap dalam hidup apabila hidup dalam ketakutan dan sehingga mencederakan diri sendiri.

"Saya hidup dalam ketakutan, sering bercakap sendirian di tandas, dan pernah berada di titik paling gelap dalam hidup sehingga saya mencederakan diri sendiri menggunakan pisau cukur. 

"Saya melalui semua itu secara senyap tanpa memberitahu sesiapa. Pada masa itu, saya merasakan kesakitan tersebut adalah sesuatu yang saya layak terima. 

Mia pernah cederakan diri sendiri ketika berada di fasa anxiety.

"Semua ini memberi kesan yang sangat mendalam kepada saya, lebih-lebih lagi apabila saya sendiri membesar dalam persekitaran yang sudah terdedah dengan isu kesihatan mental," katanya.

Sebelum ini, Puteri Balqis meluahkan rasa bengang terhadap tindakan Mia yang didakwa pernah memburukkan dirinya serta ibunya di hadapan orang ramai.

Malah aktres itu turut mendakwa tindakan Mia menangis ketika ditemu bual media disifatkan sebagai cubaan meraih simpati selain menutup sisi buruk dirinya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain