suria

Ujian air kencing positif, polis sahkan pelakon popular ditahan kes dadah

Pelakon lelaki ditahan polis sejak Rabu selepas air kencingnya positif dadah.

KETUA Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, mengesahkan seorang pelakon lelaki terkenal ditahan selepas ujian saringan air kencingnya didapati positif dadah.

Bagaimanapun, Shazeli enggan mengulas lanjut mengenai kes berkenaan yang masih dalam siasatan pihak berkuasa.

"Ya, saya sahkan ada penahanan itu," katanya ringkas memetik laporan Harian Metro. 

Shazeli mengesahkan polis menahan pelakon lelaki berkenaan sejak Rabu.

Laporan media sebelum ini memaklumkan, pelakon berusia 40-an itu ditahan pada Rabu sebelum dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam bagi permohonan reman bagi membantu siasatan berkaitan dadah. 

Mahkamah kemudian menetapkan tahanan reman selama tiga hari sehingga Jumaat.

Pelakon terbabit dipercayai ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 susulan keputusan ujian saringan air kencing positif dadah.

Namun, butiran lanjut mengenai jenis dadah yang dikesan serta tempoh tahanan lanjut masih belum didedahkan pihak polis.

ARTIKEL BERKAITAN: Puteri Balqis pertahan bapa tiri, tuntut bukti dakwaan ambil dadah

ARTIKEL BERKAITAN: Pelakon wanita mengaku silap langkah, terjebak penyalahgunaan dadah angkara kekasih

Difahamkan ini bukan kali pertama pelakon itu berdepan masalah berkaitan dadah. 

Sebelum ini, Mahkamah Majistret Petaling Jaya pernah mendapati aktor itu bersalah menggunakan dadah jenis THC. 

Bagaimanapun, pelakon itu terlepas hukuman penjara selepas Mahkamah Rayuan membenarkan dia membayar denda RM5,000.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain