Zainal (gambar kiri) menerima panggilan polis berkenaan kematian anaknya pada pukul 2 pagi.-Foto Tribun Medan
PERTENGKARAN dalam rumah tangga dipercayai menjadi punca seorang lelaki bertindak mencederakan isterinya hingga maut dalam kejadian pada Isnin.Menurut polis, pasangan itu dipercayai kerap bergaduh dan pada hari kejadian, suspek, Mohammad Ali, 29, berang kerana isterinya, Ananda Isnaini Putri, 20, pulang ke rumah keluarga tanpa pengetahuannya. Dalam pertengkaran itu, suspek bertindak memukul dan menendang, selain menenggelamkan kepala isterinya ke dalam kolah air di bilik mandi sehingga mangsa tidak sedarkan diri.Suspek kemudian panik dan cuba memberi bantuan pernafasan sebelum membawa Ananda ke hospital dengan motosikal, namun mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba.Kejadian meragut nyawa wanita malang itu berlaku di Kisaran Barat, Sumatera Utara, Indonesia.Pada awalnya, Ali mendakwa mangsa meninggal dunia selepas terjatuh daripada motosikal.Namun, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Asahan, AKP Imanuel P Simamora berkata pihak polis mula curiga selepas melihat kesan lebam pada tubuh serta luka tusukan pada bahagian nadi pergelangan tangan kiri dan kanan mangsa.Mangsa kemudian dibedah siasat dan hasil autopsi mendapati kesan kecederaan serius pada organ dalaman akibat hentaman objek tumpul."Hasil pemeriksaan menunjukkan Ananda meninggal dunia akibat patah tulang rusuk serta koyakan pada organ hati yang menyebabkan mangsa lemas," katanya.Sementara itu bapa mangsa, Zainal berkata anaknya sempat pulang ke rumah keluarga di Tanjungbalai sebelum dijemput suaminya dan dua rakannya untuk kembali ke Kisaran."Ali hubungi saya beritahu rumah tangga mereka sudah tidak sehaluan dan mahu bercerai, tetapi dia mahu berbincang dahulu dengan anak kami."Mereka sempat berbual, kemudian bertengkar semula. Anak saya masuk bilik sambil menangis sebelum dipujuk ibunya," katanya.Menurut Zainal, selepas dipujuk, mangsa bersetuju mengikut suaminya pulang semula ke Kisaran."Selepas Maghrib, kami cuba hubungi dia tetapi tiada jawapan. Panggilan terakhir dijawab Ali yang hanya berkata (Ananda) ada sebelum menamatkan panggilan."Tapi pada pukul 2 pagi, polis hubungi saya beritahu anak saya sudah meninggal dunia," katanya.Suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Asahan dan kes disiasat mengikut undang-undang berkaitan bunuh dan penganiayaan yang membawa maut.