suria

Tak tahan dengar gosip ibu ada hubungan sulit, remaja 17 tahun hapus riwayat jiran!

Mangsa mati di tempat kejadian akibat terkena tembakan pada leher. -Foto ThaiRath

SEORANG remaja lelaki berusia 17 tahun bertindak menembak mati jirannya selepas mempercayai dakwaan bahawa mangsa menjalin hubungan sulit dengan ibunya.

Kejadian berlaku pada kira-kira pukul 1 tengah hari Selasa (4 Februari), di daerah Thanyaburi, wilayah Pathum Thani, Thailand.

Menurut polis, mangsa dikenal pasti sebagai Paisarn, 41, seorang pengurus sebuah restoran francais terkenal yang beroperasi di pusat membeli-belah.

Ketika kejadian, Paisarn dilaporkan sedang menunggang motosikalnya sebelum ditembak dari belakang, menyebabkan kenderaan itu terjatuh ke tepi jalan.

Hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengalami luka tembakan di bahagian belakang leher dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Seorang wakil penduduk yang dipetik sebagai berkata, sebelum insiden, mangsa pernah menghubunginya untuk mendapatkan nasihat dan meluahkan kebimbangan terhadap keselamatannya.

Mangsa mendakwa dia dituduh menjalinkan hubungan sulit dengan isteri jirannya.

Siasatan awal polis melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendedahkan bahawa penembak sebenar bukan jirannya, sebaliknya anak kepada lelaki tersebut yang berusia 17 tahun, dikenali sebagai Mhoo.

Polis berjaya menahan remaja berkenaan ketika dia dipercayai sedang bersiap untuk melarikan diri.

Sepucuk pistol berkaliber .38 turut dirampas daripada suspek dan dijadikan bahan bukti.

Ketika disoal siasat, suspek mengaku menembak mangsa kerana sering mendengar dakwaan daripada bapanya bahawa mangsa mempunyai hubungan sulit dengan ibunya.

Ketika ini, suspek masih ditahan di bawah prosedur juvana sementara pihak polis meneruskan siasatan dan mengumpul bukti lanjut. -Agensi

Artikel Lain