Pelajar berkenaan mendakwa mengalami kesakitan teruk pada kaki selepas didenda melakukan 'squat' sebanyak 800 kali oleh guru. -Foto Facebook/Thaiger
SEORANG pelajar terpaksa dimasukkan ke hospital selepas didakwa diarahkan oleh seorang guru untuk melakukan squat sebanyak 800 kali sebagai hukuman kerana gagal menghantar latihan kerja rumah.Kejadian tersebut mendapat perhatian ramai selepas didedahkan oleh bapa mangsa menerusi laman Facebook. Menurut bapa pelajar berkenaan, anaknya mula mengadu mengalami kesakitan teruk pada bahagian kaki sebaik sahaja pulang dari sekolah.Keadaan itu menimbulkan kebimbangan sehingga dia bertindak segera membawa anaknya ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.Hasil ujian darah mendapati fungsi buah pinggang pelajar tersebut berada dalam keadaan normal. Namun, pihak hospital masih menunggu keputusan ujian enzim otot yang dijangka diketahui dalam tempoh tiga hari bagi memastikan tiada kecederaan serius pada otot.Doktor mengarahkan pelajar tersebut berehat sepenuhnya serta mengelakkan sebarang aktiviti berjalan sekurang-kurangnya selama tiga hari, selain mengambil kira-kira tiga liter air sehari bagi mengelakkan komplikasi lanjut.Dalam perkongsiannya, bapa pelajar itu turut meluahkan rasa kesal sambil menegaskan bahawa menghukum pelajar dengan aktiviti fizikal secara melampau boleh menyebabkan kecederaan serius.Dia turut menggesa pihak sekolah agar mempertimbangkan kaedah disiplin yang lebih selamat dan berhemah bagi mengelakkan risiko terhadap kesihatan pelajar. -Agensi