SEORANG gadis berusia 20 tahun yang berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran dan pertuturan menjadi mangsa rogol bapanya sendiri sehingga hamil. Suspek ditahan selepas ujian DNA mengesahkan bahawa dia mempunyai hubungan genetik dengan janin yang dikandung mangsa, sekali gus membongkar kebenaran di sebalik kes jenayah tersebut. Insiden dipercayai berlaku antara Mac hingga 21 September 2025, di kawasan Cuffe Parade, Mumbai, India.Pada September tahun lalu, mangsa mengadu kepada neneknya tentang ketidakselesaan pada bahagian perut.Menggunakan bahasa isyarat, mangsa menyatakan dia berasa seperti terdapat 'serangga merangkak' di dalam perutnya.Bimbang dengan keadaan tersebut, mangsa dibawa oleh keluarga ke Hospital Cama & Albless untuk pemeriksaan lanjut.Pemeriksaan perubatan kemudiannya mengesahkan bahawa mangsa sedang hamil lima bulan, sebelum pihak hospital segera melaporkan perkara tersebut kepada polis.Polis memaklumkan siasatan awal berdepan kesukaran kerana mangsa tidak dapat berkomunikasi secara lisan dan pada mulanya enggan membuat kenyataan. Polis kemudian menyoal bapa mangsa, namun lelaki itu menafikan sebarang salah laku dan gagal menjelaskan bagaimana anak perempuannya boleh hamil.Dia juga enggan membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.Bagaimanapun, selepas menerima sesi kaunseling, mangsa akhirnya bersetuju untuk memfailkan laporan.Berdasarkan maklumat yang diberikan, polis bertindak menahan dua individu yang dikenal pasti oleh mangsa sebagai turut terlibat.Polis turut mengambil sampel DNA dan darah daripada 17 individu yang disyaki, termasuk bapa mangsa, untuk dipadankan dengan bahan genetik janin.Pada 27 Januari lalu, keputusan ujian makmal mendedahkan hanya satu padanan positif, iaitu bapa mangsa sendiri. Suspek kemudian ditahan untuk tindakan lanjut.Polis memaklumkan siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti sama ada terdapat individu lain yang terlibat dalam kes jenayah tersebut. -Agensi