suria

Isteri pengsan di tanah perkuburan selepas teruk dibelasah suami... Mesej pengirim misteri di TikTok bongkar perbuatan curang!

Media sosial menjadi antara punca suami isteri bergaduh. -Gambar hiasan AI

SEORANG wanita  menjadi mangsa keganasan rumah tangga apabila dipukul oleh suaminya sendiri sehingga pengsan di tepi jalan.

Kejadian bermula apabila mangsa berusia 35 tahun menerima satu mesej menerusi aplikasi TikTok memaklumkan suaminya sedang bersama seorang wanita lain di sebuah kafe.

Susulan itu, mangsa pergi ke sebuah kafe di daerah Bangkalan, Jawa Timur di Indonesia dan mendapati suaminya berada bersama wanita lain. 

Dalam keadaan cemburu, mangsa terus menegur dan memarahi suaminya.

“Pertengkaran berlaku sehingga suspek bertindak mencekik leher mangsa,” kata Ketua Unit Siasatan Jenayah (Kasat Reskrim) Polis Bangkalan, AKP Hafid Dian Maulidi pada Rabu.

Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian leher dan mulut akibat perbuatan tersebut.

Kedua-duanya kemudian meninggalkan lokasi dan pertengkaran berlarutan sehingga berlaku aksi kejar-mengejar yang membawa mereka ke kawasan tanah perkuburan berhampiran kafe.

“Selepas menerima laporan, anggota polis segera ke lokasi dan mendapati mangsa sudah pengsan,” katanya.

Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Anna Medika untuk mendapatkan rawatan dan setelah sedar, mangsa tampil membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.

“Berdasarkan keterangan mangsa, dia mengalami kekerasan fizikal oleh pihak yang dilaporkan, justeru kami menjalankan pemeriksaan perubatan lanjut,” jelasnya.

Polis kini masih menjalankan siasatan dan akan memanggil suspek dalam masa terdekat bagi membantu siasatan. -Agensi

Artikel Lain