suria

Layak diberi peluang kedua... Sultan Selangor peluk erat bekas banduan PhD

Sultan Sharafuddin memeluk erat Dr Malik yang kelihatan sebak dan terharu dapat menghadap Baginda. -Gambar Selangor Royal Office

BEKAS banduan pertama di Malaysia yang memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) ketika menjalani hukuman penjara, Dr Malik Yatam, menerima perkenan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Selasa.

Menurut kenyataan Selangor Royal Office, pertemuan hampir sejam itu berlangsung dalam suasana hening, sedih dan pilu, selain menjadi perjumpaan pertama seumpamanya antara baginda dengan Dr Malik.

"Ini adalah pertemuan pertama seumpamanya antara Tuanku dengan seorang bekas banduan yang mendapat pengampunan daripada Baginda sempena Hari Keputeraan pada 2024," kata kenyataan itu.

Dr Malik, 39, menjalani hukuman Tahanan Limpah Sultan (LTS) selama 24 tahun bermula tahun 2001 ketika berusia 14 tahun.

Hukuman tersebut tidak mempunyai tempoh pembebasan tetap dan dia tidak dijatuhi hukuman mati kerana melakukan kesalahan ketika masih di bawah umur.

Dibebaskan pada 11 Disember 2024, Dr Malik berjaya menamatkan pengajian PhD dalam bidang pentadbiran perniagaan hasil usaha melanjutkan pelajaran ketika berada di Penjara Kajang.

"Pada pertemuan ini, Baginda berkenan bertanyakan khabar tentang perkembangan kehidupan selepas keluar dari penjara dan perancangan masa hadapan," kata kenyataan itu.

Baginda amat terharu dengan kisah perjalanan hidup Dr Malik dan merasakan dia layak untuk diberi peluang kedua.

Pengampunan itu juga diputuskan selepas meneliti pelbagai faktor yang dibentangkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 24 November 2024.

Sultan Selangor turut menasihatkan Dr Malik supaya terus menjaga nama baik keluarga serta mengekalkan semangat untuk memperbaiki taraf hidup.

Berdasarkan perkongsian gambar, Sultan Sharafuddin dilihat memeluk erat Dr Malik yang kelihatan sebak dan terharu dapat bertemu dengan Baginda.

Artikel Lain