SEORANG pemuda dilaporkan maut selepas secara tiba-tiba dikatakan keluar dari kereta dipandu rakan wanitanya di Batu 9, Labu, berhampiran Taman Kirby di Negeri Sembilan pada petang Isnin.Mangsa berusia awal 20an itu tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia pada pukul 12.35 tengah hari pada Selasa. Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berhubung kejadian tersebut pada pukul 11.37 pagi Selasa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai."Wanita warga tempatan berusia 20an memaklumkan rakannya, seorang lelaki warga tempatan dipercayai keluar dari sebuah kereta."Ketika kejadian, kereta sedang bergerak dan didakwa berlaku kira-kira pukul 3 petang kelmarin berhampiran Taman Kirby," katanya dalam kenyataan pada Rabu.Menurut Johari, mereka berbual ketika dalam perjalanan sebelum mangsa dipercayai bertindak keluar dari kenderaan tersebut secara mengejut.Akibat insiden itu, lelaki berkenaan mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan lutut serta tidak sedarkan diri di lokasi kejadian.Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.