suria

Cara buat mi kuning sihat untuk anak, mak-mak dah tak perlu risau si kecil tak cukup nutrien

Mi kuning yang dihasilkan sendiri lebih berkhasiat dan bernutrisi. -Foto Thread Samira

KEBANYAKAN anak kecil pasti akan mengelak sayur-sayuran yang diberikan secara langsung dalam menu mereka.

Situasi yang berlaku itu membuatkan para ibu berasa runsing dan buntu untuk memastikan anak mendapat nutrien terbaik.

Tambahan pula fasa satu hingga tiga tahun adalah waktu paling kritikal untuk tumbesaran fizikal dan otak mereka.

Bagi yang masih tercari-cari makanan berasaskan sayur dan lengkap protein, cubalah sediakan mi kuning seperti perkongsian Samira di Thread.

Bukan sahaja mudah, anak anda akan mendapat nutrien lengkap yang diperlukan.

Bahan-bahan

1. 250 gram dada ayam 

2. 100 gram brokoli (apa-apa sayur hijau pun boleh) 

3. 100 gram labu 

4. 1 biji telur

5. 1/2 sudu besar ghee/mentega/ minyak (bantu mi lembut)

6. Tepung gandum

7. 1/2 sudu kecil minyak bijan (hasilkan bau wangi)

8. 1/2 sudu kecil garam

Doh menjadi apabila sudah tidak melekat dan lembut.

Doh menjadi apabila sudah tidak melekat dan lembut.

Cara penyediaan

1. Rebus dada ayam sehingga masak dan ketepikan seketika.

2. Guna air rebusan tadi untuk celur brokoli.

3. Kemudian rebus labu sehingga empuk kerana labu memberikan warna kuning pada mi.

4. Masukkan kesemua bahan tadi dan tambahkan telur, mentega, minyak bijan, garam ke dalam pengisar dan kisar hingga halus.

5. Selepas itu tambahkan tepung gandum ke dalam adunan dan uli hingga sebati.

6. Tepung ditambah sehingga adunan menjadi tidak melekat pada tangan atau bekas, doh lembut dan tidak retak apabila diuli

7. Rehatkan doh selama 10 hingga 15 minit.

8. Gunakan alat pembuat mi untuk dapatkan bentuk yang menarik dan panjang sekata.

9. Kemudian rebus dalam air mendidih, angkat apabila mi telah timbul di permukaan.

10. Lepas tos, gaulkan sedikit dengan ghee supaya tidak melekat.

Artikel Lain