Seorang lelaki ditahan (kanan) bagi membantu siasatan kes kematian seorang pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang juga isterinya.
PERSELISIHAN rumah tangga dipercayai menjadi punca seorang pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) maut ditikam suaminya di Kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam Jumaat. Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, suspek menyerah diri di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor bagi memaklumkan mengenai kematian isterinya. Ujarnya, polis yang menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 9.30 malam segera ke lokasi kejadian dan menemukan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 30-an dalam keadaan tidak sedarkan diri."Pemeriksaan awal Bahagian D10 Forensik Kontinjen Negeri Sembilan mendapati mangsa mengalami kecederaan disyaki akibat tikaman dan sebilah pisau serta beberapa barang kes lain dirampas bagi membantu siasatan."Mangsa ialah pegawai kastam yang telah bertukar ke skim perkhidmatan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) berkuat kuasa 1 Julai," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.Alzafny berkata, pasukan perubatan Klinik Kesihatan Nilai mengesahkan kematian mangsa.Menurutnya, suami mangsa yang berusia lingkungan 30-an direman hingga 22 Oktober bagi membantu siasatan lanjut.Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.