suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Terperangkap dalam kepungan api dan asap tebal... Empat nyawa melayang ketika padam kebakaran hutan di Bromo

Pihak berkuasa membawa keluar mangsa yang terkorban dalam kebakaran hutan di Bromo. -Foto Istimewa/Detik

EMPAT lelaki dilaporkan maut ketika bertungkus-rumus memadamkan kebakaran hutan di Taman Nasional Bromo Tengger Semeru (TNBTS), Indonesia, pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari itu, enam individu terperangkap dalam kepungan api akibat tiupan angin kencang, manakala lima lagi berjaya menyelamatkan diri.

Ketua Pengurusan TNBTS, Rudijanta Tjahja Nugraha berkata, tiga mangsa ditemukan meninggal dunia di lokasi kejadian sekitar pukul 1.30 tengah hari.

Seorang lagi mangsa yang mengalami kecederaan parah dikejarkan ke hospital, namun disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan intensif selama kira-kira tiga jam.

Dua daripada mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai pegawai taman negara, manakala dua lagi merupakan pengawal keselamatan yang bertindak membantu operasi berkenaan.

Sementara itu, dua lagi mangsa yang mengalami luka melecur serius adalah daripada pasukan Masyarakat Peduli Api dan petugas keselamatan sebuah syarikat pelancongan.

Mereka kini dirujuk ke Hospital Dr Soetomo di Surabaya bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Menurut Rudijanta, kebakaran itu mula dikesan pada Selasa sebelum berjaya dikawal pada Rabu. 

Bagaimanapun, kepulan asap tebal kembali kelihatan di kawasan sama pada pagi Khamis, menyebabkan pasukan petugas digerakkan semula.

Operasi pemadaman berdepan kesukaran berikutan keadaan muka bumi curam, sumber air yang jauh serta tiupan angin kencang sehingga menyebabkan api merebak dengan pantas.

Rudijanta turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan memaklumkan pihaknya akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi menguruskan mangsa yang masih menerima rawatan. -Agensi

Artikel Lain