Wanita yang hampir diseludup masuk ke Malaysia ditahan ketika kenderaan dinaikinya dipintas berhampiran Padang Besar.
TINDAKAN licik seorang bekas pramugari warga China yang dipercayai menjadi dalang penyeludupan warga senegaranya ke Thailand dan Malaysia akhirnya tumpas selepas ditahan dalam satu operasi imigresen.Wanita berusia 34 tahun yang dikenali dengan nama samaran Pan Yudong itu ditahan pihak berkuasa di Songkhla, Thailand pada Khamis bersama empat lagi individu.Penahanan suspek dibuat susulan kejayaan pihak polis mengesan kewujudan dua lelaki warga China yang memasuki Thailand secara haram dari Malaysia sebelum menginap di sebuah hotel di Hat Yai.Berdasarkan laporan, Pan ditahan ketika tiba untuk mengambil mereka sebelum dipercayai menguruskan pasport dan perjalanan ke Bangkok. Hasil pemeriksaan mendapati, dia turut menyerahkan seorang wanita berusia 25 tahun kepada individu tempatan untuk diseludup masuk ke Malaysia.Wanita itu kemudian ditemukan bersembunyi di bawah timbunan pakaian di tempat duduk belakang sebuah kenderaan yang dipintas berhampiran Padang Besar. Pemandunya turut ditahan bagi membantu siasatan.Susulan tangkapan yang dibuat, Pan dan pemandu berkenaan berdepan pertuduhan membantu warga asing mengelakkan tangkapan, manakala tiga lagi individu berdepan pertuduhan imigresen.Polis turut menyiasat kemungkinan kegiatan jual beli kewarganegaraan berlaku selepas menemukan pasport asing dan gambar beberapa pasport Vanuatu (sebuah negara kepulauan di Pasifik Selatan) dalam telefon Pan. -Agensi