Sekumpulan penunjuk perasaan membawa jentolak ke lokasi kejadian untuk merobohkan kedai milik suspek.
TINDAKAN seorang aktivis antidadah berdepan pemilik kedai ubat berakhir tragedi apabila dia ditembak mati ketika bersiaran langsung di Facebook.Kejadian itu berlaku di Mansa, Punjab, India pada pagi Selasa.Mangsa, Parvinder Singh Jhota, maut di tempat kejadian manakala rakannya mengalami kecederaan selepas didakwa ditembak oleh pemilik kedai, Ashwani Kumar.Sebelum kejadian, Jhota aktif menjalankan kempen menentang penjualan dadah secara haram di premis berkenaan.Ketika bersemuka dengan suspek, dia sempat merakam aksi tersebut secara langsung.Dalam rakaman itu, Kumar dilihat mengancam mangsa menggunakan senjata api sebelum bertindak melepaskan tembakan maut.Kematian tragis ini mencetuskan gelombang kemarahan dalam kalangan orang ramai.Pada Rabu, sekumpulan penunjuk perasaan membawa jentolak ke lokasi kejadian untuk merobohkan kedai milik suspek.Selepas merobohkan struktur bangunan itu, mereka turut membakar sisa premis berkenaan.Pihak berkuasa turut bertindak tegas dengan merobohkan sebahagian tembok pagar serta struktur hadapan rumah suspek.Tindakan itu diambil selepas polis menerima maklumat bahawa binaan tersebut didirikan tanpa kebenaran.Selepas memusnahkan kedai suspek, penunjuk perasaan cuba bergerak ke rumah Kumar.Namun, kemaraan mereka berjaya disekat oleh pasukan keselamatan yang mengawal ketat kawasan itu.Pihak polis mengesahkan suspek sudah ditahan di Rajasthan dan kini sedang dibawa kembali ke Mansa untuk tindakan lanjut.Dalam rakaman terakhir sebelum rebah, kedengaran Jhota sempat menuduh Kumar menjual dadah di kedai ubat berkenaan sebelum tembakan dilepaskan. -Agensi