suria

Diskaun tol 50 peratus selama dua hari sempena Tahun Baharu Cina

Diskaun tol 50 peratus diberikan kepada pengguna lebuh raya sempena Tahun Baharu Cina. -Gambar hiasan

KERAJAAN bersetuju memberikan diskaun tol sebanyak 50 peratus sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026, bermula Sabtu hadapan. 

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pelaksanaan diskaun berkenaan akan bermula pada pukul 12.01 tengah malam, 14 Februari 2026 (Sabtu) dan berakhir pada pukul 11.59 malam, 15 Februari 2026 (Ahad). 

“Pelaksanaan ini diharap dapat membantu mengurangkan kos perjalanan rakyat yang pulang ke kampung atau bercuti sempena Tahun Baharu Cina serta menjelang Ramadan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Katanya, pelaksanaan itu melibatkan implikasi kewangan yang ditanggung kerajaan bagi membayar balik pampasan kepada syarikat konsesi tol yang terlibat dianggarkan berjumlah RM19.5 juta.

Jelas beliau, diskaun itu melibatkan kenderaan persendirian Kelas 1 di semua plaza tol selain Kelas 2 di Jambatan Pulau Pinang.

Bagaimanapun, kemudahan berkenaan tidak melibatkan plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar di Lebuhraya Utara-Selatan serta Plaza Tol Tanjung Kupang di Laluan Kedua Malaysia-Singapura.

Nanta berkata pemilihan tarikh pelaksanaan diskaun dibuat bagi mengelakkan kesesakan trafik selain memastikan operasi lebuh raya dapat diurus dengan lebih efisien termasuk penyelarasan logistik tambahan di kawasan hentian sebelah serta kawasan rehat dan rawat (R&R).

Dalam masa sama, pengguna lebuh raya dinasihatkan merancang perjalanan dengan baik, mematuhi had laju serta arahan papan tanda bagi memastikan perjalanan lebih selamat.

Artikel Lain