suria

Setiausaha NGO misi kemanusiaan Gaza disyaki seleweng dana awam RM4.2 juta

Suspek direman selama tiga hari ekoran disyaki menyalah guna kuasa dengan menyeleweng dana berjumlah kira-kira RM4.2 juta.

INDIVIDU bergelar setiausaha sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang terkenal bagi misi kemanusiaan di Gaza, direman selepas disyaki menyalah guna kuasa dengan menyeleweng dana berjumlah kira-kira RM4.2 juta.

Mahkamah Majistret Putrajaya membenarkan permohonan reman yang dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di hadapan Majistret Ezrene Zakariah, pada Khamis.

Suspek yang berusia dalam lingkungan 40-an itu direman selama tiga hari sehingga Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pendakwah popular direman bantu siasatan salah guna kuasa dana pusat pengajian agama di Sungai Petani

Suspek ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, pukul 6 petang, Rabu.

"Siasatan awal mendapati suspek yang juga pemilik sebuah syarikat makanan disyaki melakukan perbuatan berkenaan antara tahun 2022 hingga 2024.

"Suspek dipercayai melulus dan memindahkan dana NGO berjumlah kira-kira RM4.2 juta ke dalam akaun dua buah syarikat lain bagi tujuan pelaburan, di mana individu-individu di dalam pengurusan persatuan dipercayai mempunyai kepentingan di dalam syarikat-syarikat tersebut," lapor media yang memetik sumber.

Menurutnya, siasatan kini menjurus kepada elemen penyelewengan dana awam, memandangkan NGO tersebut merupakan sebuah pertubuhan yang menerima sumbangan orang ramai bagi tujuan misi kemanusiaan di Gaza.

Katanya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Artikel Lain