suria

Pendakwah selebriti popular direman sekali lagi, kali ini libatkan dana RM1.3 juta pula

Seorang pendakwah terkait dakwaan salah guna kuasa membabitkan dana sebuah pusat pembangunan dan pendidikan agama terkenal di Sungai Petani, Kedah direman sekali lagi. -Foto Bernama

PENDAKWAH selebriti sekali lagi direman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah bersama seorang Ketua Jabatan Kewangan dan Perakaunan sebuah institusi pendidikan serta dakwah, kerana disyaki terlibat dalam penyelewengan dana berjumlah kira-kira RM1.3 juta.

Perintah reman selama tiga hari sehingga 8 Februari terhadap kedua-dua individu itu dikeluarkan oleh Majistret Nur Amalina Abd Rahman selepas permohonan dibuat di Mahkamah Majistret Alor Setar pada Jumaat.

Pada Khamis, mereka direman selama sehari selepas permohonan dibuat di Mahkamah Majistret Sungai Petani dan dibebaskan pada pukul 5 petang hari sama.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka yang masing-masing berusia lingkungan 30-an ditahan semula kira-kira pukul 6 petang bagi membantu siasatan kes berasingan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pendakwah popular direman bantu siasatan salah guna kuasa dana pusat pengajian agama di Sungai Petani

Siasatan mendapati pendakwah selebriti yang juga memegang jawatan pengarah urusan institusi berkenaan disyaki bersubahat menyeleweng dana yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi.

Dalam masa sama, kedua-dua suspek turut dipercayai meluluskan pembayaran pembelian sebuah rumah bernilai sekitar RM500,000.

Terdahulu, mereka disiasat kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dengan meluluskan pembayaran dana awam berjumlah RM600,000.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan siasatan dijalankan sejak Oktober tahun lalu oleh SPRM Kedah bersama Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML).

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Penahanan ini turut mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan pengguna media sosial mengenai identiti pendakwah popular terbabit yang dikatakan sering muncul dalam program dakwah di televisyen pada waktu pagi.

Artikel Lain