SEORANG remaja berusia 14 tahun tidak menyangka menjadi pemilik sebuah BMW 520i M Sport bernilai kira-kira RM364,800 selepas memenangi cabutan Sijil Simpanan Premium (SSP) Bank Simpanan Nasional (BSN).Menurut pemenang, Che Thaqif Dzakwan Che Mazlan dari Nilai, Negeri Sembilan, dia tergamam apabila bapanya memaklumkan berita kemenangan tersebut. “Saya macam tak percaya. Rasa macam mimpi,” katanya pada majlis penyerahan hadiah di BMW Millennium Welt KL North pada Jumaat.Bapanya, Che Mazlan Che Jaafar, 49, berkata niat utama dia menyertai skim simpanan itu bukanlah mengejar hadiah, sebaliknya untuk mendidik anak-anak agar berdisiplin dalam mengurus kewangan.“Hadiah itu bonus, yang penting kami belajar menabung secara konsisten,” katanya.Che Mazlan berkata, dia mula membuka akaun BSN SSP atas nama anaknya pada 2024, selepas remaja itu mencapai umur minimum kelayakan iaitu 12 tahun.“Saya sendiri ada akaun SSP, tapi anak yang dapat rezeki,” katanya.Ditanya mengenai perancangan terhadap kenderaan mewah berkenaan, Che Mazlan berkata keluarganya mengambil keputusan untuk menyimpan dan menggunakan BMW itu sebagai kereta keluarga buat sementara waktu.“Dengan izin Allah, kami anggap ini rezeki untuk sekeluarga,” katanya.