suria

Hujan lebat, Rembayung dimasuki air... Khairul Aming mohon maaf pelanggan terpaksa pindah meja

Ruang makan Rembayung yang dimasuki air akibat hujan lebat pada petang Sabtu.

RESTORAN milik Khairul Aming, Rembayung, dimasuki air gara-gara mengalami kebocoran akibat hujan lebat pada petang Sabtu.

Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Threads, pempengaruh terkenal tersebut tampil memohon maaf kepada pelanggan ekoran kesulitan yang timbul akibat situasi berkenaan. 

"Mohon maaf customers yang tak selesa makan petang tadi sebab kena pindah meja. 

"Hujan tersangat sangat lebat hari ni sampai leaking masuk dalam kedai," tulisnya.

Khairul Aming turut memuat naik video memaparkan situasi yang berlaku dengan kakitangan restorannya bertungkus-lumus membersihkan ruang makan yang dimasuki air.

Dia menambah situasi berkenaan ditangani dengan pantas demi memastikan keselesaan pelanggan.

"Alhamdulillah leaking dah stop and dinner session malam ni bersambung seperti biasa. 

"Punca leaking akan kita terus repair malam ni," tambah pempengaruh berusia 33 tahun itu.

Untuk rekod, restoran berkonsepkan masakan Melayu itu mula beroperasi pada 6 Januari, iaitu genap sebulan yang lalu.

Artikel Lain