SEORANG wanita di wilayah Aceh, Indonesia, dilaporkan pengsan selepas dikenakan hukuman sebatan sebanyak 140 kali minggu lalu kerana melakukan hubungan seks luar nikah serta meminum alkohol. Wanita berusia 21 tahun itu bersama pasangannya dihukum sebat menggunakan rotan di Banda Aceh pada Khamis lalu, sambil disaksikan berpuluh-puluh orang awam. Menurut laporan Agence France-Presse (AFP), masing-masing menerima 100 sebatan kerana melakukan hubungan seks luar nikah dan tambahan 40 sebatan kerana meminum alkohol.Ketua Polis Syariah Banda Aceh, Muhammad Rizal, memaklumkan bahawa hukuman tersebut dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang Syariah yang berkuat kuasa di Aceh.BBC melaporkan bahawa hukuman itu dijalankan oleh tiga pegawai wanita yang bergilir-gilir menyebat mangsa. Berpakaian serba putih, wanita berkenaan dilihat menangis teresak-esak dan tersentak menahan kesakitan sepanjang hukuman dijalankan sebelum akhirnya rebah dan tidak sedarkan diri.Saksi kejadian berkata mangsa kemudian diangkat menggunakan pengusung dan dibawa ke ambulans yang telah menunggu di lokasi.Pihak berkuasa menyifatkan insiden itu sebagai rekod jumlah sebatan tertinggi pernah dikenakan dalam satu sesi hukuman awam di Aceh.Pasangan tersebut disebat bersama empat individu lain pada hari yang sama, termasuk seorang pegawai daripada pasukan polis Syariah, selepas kesemua mereka didapati bersalah melanggar undang-undang Islam.Di bawah Kanun Jenayah Islam Aceh, perbuatan seks di luar perkahwinan boleh dihukum dengan sehingga 100 sebatan, manakala kesalahan meminum alkohol membawa hukuman maksimum 40 sebatan.Aceh merupakan satu-satunya wilayah di Indonesia yang diberi autonomi khas untuk melaksanakan undang-undang Syariah, termasuk mengenakan hukuman sebatan secara terbuka bagi pelbagai kesalahan. -Agensi