SEKUMPULAN perompak bertindak melarikan seorang wanita warga emas bersama katilnya semata-mata untuk merompak barang kemas perak yang dipakai mangsa.Menurut polis, kejadian berlaku pada Rabu malam ketika suspek memecah masuk kediaman bekas ketua kampung dengan niat melakukan rompakan. Dalam kejadian itu, suspek dipercayai mengunci ahli keluarga lain di dalam bilik dari luar sebelum mensasarkan ibu mentua ketua kampung berusia 90 tahun yang sedang tidur di beranda rumah.Melihat wanita warga emas itu memakai barang kemas perak seberat kira-kira 1.5 kilogram, suspek menutup mulut mangsa dan mengangkatnya bersama katil ke sebuah kawasan ladang berhampiran. Mangsa kemudian diikat tangan dan kaki sebelum ditinggalkan di situ.Kejadian dilaporkan berlaku di daerah Bhilwara, Rajasthan, India. Ahli keluarga yang terkurung berjaya melepaskan diri selepas menyedari kejadian tersebut dan mendapatkan bantuan penduduk kampung. Mereka segera melancarkan pencarian sebelum menemui warga emas dalam keadaan tidak berdaya di ladang, manakala suspek telah melarikan diri.Susulan tindakan pantas keluarga dan penduduk kampung, perompak gagal melarikan barang kemas perak milik mangsa.Pihak polis yang tiba di lokasi telah melancarkan operasi mengesan suspek dan siasatan lanjut sedang dijalankan.-Agensi