suria

Bapa mengamuk tendang pintu, baling kerusi gara-gara anak guna tisu keringkan rambut

Seorang lelaki mengamuk selepas anaknya mengeringkan rambut menggunakan tisu. -Gambar media sosial

SEORANG bapa mengamuk selepas mendakwa anak perempuannya menggunakan tisu untuk mengeringkan rambut. 

Menurut laporan, insiden tersebut didedahkan oleh isterinya sendiri yang memuat naik video kejadian pada 26 Januari lalu. 

Kejadian dipercayai berlaku apabila si bapa menemui sisa kecil seperti kelemumur pada rambut anak perempuannya selepas mandi. 

Lelaki itu kemudian menuduh anaknya menggunakan tisu, meskipun telah dilarang berbuat demikian.

Walaupun kanak-kanak itu menegaskan bahawa dia menggunakan tuala, bapanya enggan mempercayainya dan bertindak agresif dengan memecahkan alat pengering rambut.

Kejadian dilaporkan berlaku di wilayah Guangdong, selatan China. 

Keadaan menjadi semakin tegang apabila kanak-kanak itu mengurung diri di dalam bilik.

Lelaki berkenaan dilihat cuba memaksa pintu dibuka sebelum menendang pintu bilik dan melontar kerusi plastik ke arah pintu.

Setakat ini, usia kanak-kanak berkenaan tidak didedahkan dan tidak jelas apa yang berlaku selepas kejadian tersebut. 

Video berkenaan kemudiannya dipadam oleh si ibu, dan tiada laporan rasmi mengenai campur tangan pihak berkuasa.

Pakar psikologi dari sebuah institusi kesihatan mental di Beijing turut memberi amaran bahawa tingkah laku ganas ibu bapa boleh memberi kesan jangka panjang terhadap perkembangan emosi dan mental kanak-kanak.

“Mendidik melalui keganasan menunjukkan emosi yang tidak terkawal dan boleh meninggalkan trauma berpanjangan kepada anak,” menurut kenyataan institusi berkenaan.-Agensi

Artikel Lain