suria

“Bukan rezeki abang” - Shiha Zikir ralat tak sempat cipta lagu buat anak sulung Amyza Aznan, projek bersama Adrian pasti jadi

Shiha (kanan) realisasikan impian Adrian untuk rakam lagu baharu.

KAGUM dengan bakat yang dimiliki Adrian Adam, penyanyi Shiha Zikir terus menghubungi pelakon Amyza Aznan bagi menghadiahkan sebuah lagu baharu untuk dirakamkan.

Menurut Shiha atau Nurshiha Mohd Zikir, 39, ‘hadiah’ tersebut juga sebagai memenuhi hasrat yang tertangguh sebelum ini kerana dia pernah memasang impian untuk menghasilkan lagu buat abang sulung Adrian, iaitu Allahyarham Andre Mikhail yang meninggal dunia pada Februari lalu.

“Semalam (Ahad), saya menonton persembahan Adrian dan teringat semula kisah lama. Selepas itu saya terus hubungi Amyza dan kali ini pasti akan jadi. Tiada rezeki buat abang, mungkin rezeki buat adik.

Shiha akan terbitkan lagu buat Adrian.

“Amyza juga sangat gembira apabila saya menghubunginya. Saya juga teruja melihat dia sangat positif,” katanya ketika dihubungi mStar.

Berkongsi lanjut, Shiha memberitahu persembahan Adrian pada konsert minggu kelima program Talk To My Manager musim kedua (TTMM2) memberi ilham kepadanya untuk memberikan sesuatu yang cukup istimewa.

Dia turut menceritakan kembali pertemuannya dengan Allahyarham Andre beberapa tahun lalu sebelum remaja itu disahkan menghidap kanser paru-paru.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Rezeki anak Amyza Aznan dapat rakam lagu baharu, Adrian Adam terima tawaran 30 minit selepas buat persembahan di TTMM2 

ARTIKEL BERKAITAN: Anak Amyza Aznan tarik diri sebelum TTMM2 bermula, muncul buat persembahan istimewa minggu kelima

Disebabkan kekangan tertentu, Shiha tidak dapat menghasilkan lagu baharu buat Andre ketika itu.

“Amyza memperkenalkan saya kepada Andre sebelum dia sakit dan saya memang suka suaranya. Namun ketika itu syarikat saya baru mula beroperasi, jadi saya perlu fokus pada kerjaya sendiri terlebih dahulu. Jadi, hasrat untuk menghasilkan lagu baharu hanya tinggal perancangan.

“Apabila syarikat sudah kukuh, saya dapat tahu arwah sakit. Ada juga rasa sedikit ralat kerana tidak sempat memberikan sesuatu kepadanya.

Persembahan Adrian semalam benar-benar membuatkan saya tersentuh

SHIHA ZIKIR 

PENYANYI

“Persembahan Adrian semalam benar-benar membuatkan saya tersentuh. Saya suka melihat orang berbakat seperti Adrian,” ujarnya.

Bercakap tentang lagu baharu tersebut, Shiha akan bekerjasama dengan seorang komposer bagi menghasilkan melodi sementara lirik akan ditulisnya sendiri. 

Pada Ahad, Adrian membuat kemunculan khas di pentas TTMM2 dengan menyampaikan lagu Ku Mohon nyanyian Datuk Sheila Majid sambil duduk di kerusi roda.

Kemunculan Adrian di pentas TTMM2 mencuri tumpuan ramai. 

Dia sepatutnya menjadi salah seorang peserta TTMM2, namun terpaksa menarik diri selepas disahkan menghidap kanser tulang pada Februari lalu.

Amyza, ketika bertemu media, turut memaklumkan menerima panggilan daripada seseorang yang meluahkan hasrat untuk mencipta lagu baharu buat Adrian.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain