suria

MK K-Clique tak upah pengasuh, syukur isteri banyak bantu urus anak

PENYANYI dan pelakon MK K-Clique bersyukur isterinya iaitu Siti Hajaar banyak membantu dalam menguruskan anak sulung mereka, Aya Rayana yang kini hampir mencecah usia dua tahun.

Kata MK atau nama sebenarnya Muhammad Hairi Amin Hamdan, 30, dia beruntung kerana dikurniakan pasangan hidup yang memahami tuntutan kerjayanya sebagai anak seni.

“Isteri saya banyak membantu dan dia seorang yang sangat memahami kerjaya saya. Dia bekerja dari rumah dengan mengusahakan perniagaan secara atas talian, dalam masa sama menjaga anak kami apabila saya keluar bekerja.

“Kami pun belum mengupah pengasuh tetap kerana masih mampu menguruskan sendiri bersama-sama,” katanya kepada mStar.

Dalam pada itu, MK turut mengakui aspek keselamatan anak menjadi keutamaan, lebih-lebih lagi apabila terpaksa meninggalkan Aya Rayana atas urusan kerja.

“Tak dinafikan sekarang macam-macam kes berlaku, tapi kalau kami perlu keluar sebab ada acara, kami akan pastikan keselamatan anak terjamin dengan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di rumah.

“Kami juga akan beritahu dengan jelas kepada individu yang membantu menjaga anak tentang perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Bagi saya, kalau beri kesedaran, insya-Allah tiada masalah,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, MK kini sedang sibuk menjalani penggambaran filem terbaharu berjudul Black Ops.

Selain MK, filem arahan Syafiq Yusof itu turut dibintangi barisan pelakon terkenal seperti Sharnaaz Ahmad, Hisyam Hamid, Aaron Aziz, Fauzi Nawawi, Andy Teh, Elizabeth Tan serta Raja Afiq.

TONTON VIDEO PENUH TEMU BUAL DISEDIAKAN MSTAR INI



Video Selebihnya

Semua
Hiburan
Berita
Variasi