Nak makan ikan segar Semporna? Ikan Bakabah tawar menu pelik dari Sabah - Video | mStar

LAZAT dan menyelerakan. Itu ungkapan sesuai selepas menikmati makanan laut segar di restoran Ikan Bakabah yang menawarkan sajian istimewa dari Semporna, Sabah.

Bak kata orang tak cuba tak tahu, bila dah cuba rasa nak selalu.

Jika berkunjung ke restoran yang terletak di SS 19 Subang Jaya, Selangor ini, pastikan anda cuba sendiri ikan balawis dan sotong bakarnya yang sangat lazat.

Menurut pemiliknya, Mohd Radziman Mohd Noor, 39, restoran Ikan Bakabah menawarkan pelbagai jenis ikan segar termasuk makanan tradisional Semporna seperti rumpai laut, kinalau dan putu.

"Kepakaran kami di sini adalah menu ikan bakar yang dipanggang menggunakan kaedah tradisional.

"Paling istimewa ialah pilihan ikan yang tidak terdapat di perairan semenanjung. Kami menjual ikan persisir pantai yang hanya terdapat di Semporna dan ditangkap sendiri oleh orang-orang Bajau di sana.

"Ikan balawis jalur atau dikenali sebagai ikan bolo merupakan signature jika berkunjung ke sini," ujarnya ketika ditemui mStar Online.

Terdapat lebih daripada lima jenis ikan yang boleh dipilih antaranya ikan balawis, poggot, ketambak, cukcuk, boulu, yoyo, perak, bayan dan tahu.

Rasa ikan balawis yang lemak manis dan dimakan dengan sos istimewa kombinasi rasa pedas, masam dan manis pastinya membuka selera sesiapa sahaja yang mencuba.

Tambah Radziman atau lebih mesra disapa Radz, hidangan sotong bakar juga antara yang menjadi kegilaan pengunjung.

"Rata-rata pengunjung sangat menggemari sotong bakar kerana aromanya. Menariknya sotong yang dibakar tidak mengecut dan teksturnya juga tidak terlalu kenyal," katanya.

Lebih menarik, semua ikan yang dijual telah disiang bersih tanpa bahagian dalaman sebelum dipilih pelanggan.

"Maknanya ikan yang ditimbang tidak mengandungi bahagian dalaman yang tidak boleh dimakan.

"Kami nak pastikan pelanggan dapat berjimat dan hanya bayar untuk harga yang berpatutan. Jika mereka sudah bersetuju dengan harga barulah kita akan bawa ke belakang untuk dimasak," katanya.

Bercerita mengenai idea membuka restoran yang menawarkan sajian berasaskan makanan istimewa dari Sabah itu, anak jati Kelantan ini berkata dia begitu menggemari makanan negeri Sabah selepas isterinya, Nor Fadzalina Dahlan, 24, membawa dia menikmati sendiri keenakannya. 

"Sebenarnya isteri saya orang Tawau, Sabah. Dia bagi saya rasa dan cuba makan ikan pelik yang saya tidak pernah cuba pun di semenanjung. Sekali rasa saya dah mula jatuh cinta.

"Sejak itu saya fikir nak bawa menu ini ke semenanjung dan kongsi kepada orang ramai.

"Tanpa pengalaman dalam perniagaan, kami suami isteri perpakat untuk cuba berniaga. Alhamdulillah, daripada sebuah kedai kecil kini kami memiliki sebuah kedai yang lebih selesa," ujarnya.

Setiap set ikan bakar dihidang bersama tiga jenis sos istimewa bersama semangkuk sup.

Antara menu tradisional lain yang ditawarkan adalah putu (ubi kayu rebus), kinalau (kerabu) dan rumpai laut.

Restoran ikan Bakabah

No.20, Medan Selera SS19, Subang Jaya, Selangor

Waktu operasi: Setiap hari kecuali Jumaat (4 petang - 11 malam)

Nombor telefon: 017 3420484

Ikan Bakabah , Semporna
Semua
Hiburan
Berita
Variasi