Takut naik Grab? MakCik Travels pilihan selamat tawar teksi untuk wanita - Video | mStar

Takut naik Grab? MakCik Travels pilihan selamat tawar teksi untuk wanita

JENAYAH seksual dan samun antara perkara yang membuatkan wanita berasa tidak selamat khususnya ketika menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.

Kepada kaum hawa yang bimbang untuk menaiki Grab atau MyCar, ini ada pilihan terbaru untuk anda semua.

MakCik Travels merupakan perkhidmatan teksi e-hailing terbaharu yang hanya dikhaskan untuk kaum wanita demi menjaga keselamatan mereka ketika menaiki pengangkutan awam.

Menurut pengasasnya, Sazlina Kamaralzaman, 47, MakCik Travels menawarkan pemandu wanita khusus untuk keselesaan penumpang wanita yang ingin bergerak kemana-mana, pada bila-bila masa.

“Konsep kami adalah menyediakan pemandu wanita untuk penumpang wanita sahaja dan kami memperkenalkan konsep membuat tempahan awal atau pre-booking supaya proses mencari pemandu, destinasi dan kiraan kos perjalanan dapat dilakukan selain proses mengenalpasti identiti penumpang.

“Cara nak menggunakan perkhidmatan kami mudah sahaja. Penumpang boleh membuat tempahan hanya melalui whatsapp ataupun Facebook,” ujarnya kepada mStar Online.

Tambah Sazlina, nama ‘MakCik’ dipilih bagi menambahkan lagi keyakinan golongan wanita yang mahu menggunakan perkhidmatan ini kerana ia dekat di hati masyarakat manakala ‘Travels’ merujuk kepada perjalanan.

“Sebenarnya ia bermula dengan nama Instagram saya, Travelling MakCik di mana saya akan berkongsi pengalaman saya bersama keluarga dan kawan-kawan ketika kami ke luar negara.

“Daripada pening nak fikir nama untuk syarikat ini, saya fikir lebih baik gunakan MakCik Travels sahaja.

“Lagipun perkataan mak cik itu sendiri merujuk kepada watak seorang ibu dan seseorang yang kita percayai,” katanya.

Sazlina memberitahu, semua pemandu yang berdaftar dengan syarikat wajib menjalani saringan dan semakan latar belakang bagi memastikan tiada rekod jenayah lampau.

“Semua pemandu yang memohon untuk menjadi sebahagian daripada ‘keluarga’ kami wajib menjalani saringan dan semakan latar belakang.

Menurut ibu kepada enam orang anak ini lagi, perkhidmatan e-hailing yang dijalankan bersama anak perempuannya, Siti sarah anuar, 19, ini menggunakan pendekatan pra tempahan di mana penumpang perlu membuat tempahan setengah jam lebih awal  bagi memberi peluang kepadanya mencari pemandu berdekatan dan membuat kira-kira selain mengenal pasti destinasi yang dituju dan siapakah penumpang yang membuat tempahan.

“Buat masa ini kami tiada applikasi khusus untuk mengira jarak dan mencari pemandu. Semua itu dilakukan secara manual dimana saya sendiri akan mencari pemandu dan mengira jarak mengikut standard harga e-hailing lain.

"Tetapi menariknya di MakCik Travels, kami tidak mengenakan komisen yang terlalu tinggi kepada pemandu kami. Sudah tentu mereka akan mendapat lebih.

“Kami lebih kepada negotiator. Jika penumpang dan pemandu kami sudah bersetuju dengan harga yang diberi, saya akan bagitahu penumpang saya sudah jumpa driver dan saya akan berikan ID driver itu kepada penumpang," tambahnya.

Sementara itu, Sazlina berkata, MakCik Travels turut menawarkan pekerjaan buat wanita yang ingin menjana pendapatan dengan waktu bekerja yang lebih fleksible untuk mendaftar sebagai pemandu MakCik Travels.

“Alhamdullilah sehingga kini kami mempunyai lebih 70 pemandu yang mendaftar di bawah MakCik Travels.

"Salah satu tujuan saya menubuhkan syarikat ini adalah untuk membantu wanita yang nak cari duit lebih. Saya faham ada ibu-ibu yang memiliki anak OKU atau ibu tunggal yang menghadapi kekangan kewangan untuk bekerja dengan kami.

“Selain memberi kemudahan kepada penumpang wanita, perkhidmatan seperti ini juga telah membantu golongan ibu tunggal yang terpaksa bekerja sendiri untuk menyara keluarga," katanya.

Sementara itu Sazlina berkata dia merancang untuk menawarkan pelbagai lagi perkhidmatan lain pada masa hadapan dan salah satunya adalah perkhidmatan pengiring atau 'escort service' khusus buat warga emas yang ingin ke hospital dan sebagainya.

MakCik Travels , e-hailing , pemandu wanita
Semua
Hiburan
Berita
Variasi