Mak mertua marah minum ais masa berpantang? Ibu-ibu perlu ambil tahu cerita sebenar - Video | mStar

MEMANG wanita disarankan untuk berpantang selepas melahirkan anak sama ada secara semulajadi atau pembedahan.

Namun sedar atau tidak, ada antara petua atau pantang larang yang diamalkan dalam masyarakat sejak dahulu lagi sebenarnya sekadar mitos yang tidak benar.

Salah satu daripanya ialah wanita berpantang tidak dibenarkan mengambil minuman sejuk atau berais kerana dikhuatiri akan menyebabkan perut buncit.

Wow! Tentunya perkara ini amat ditakui oleh para ibu kerana bimbang bentuk badan akan berubah selepas bersalin.

Namun sejauh manakah kebenarannya itu?

Pegawai Perubatan Kehamilan dan Sakit Puan, Dr Aimi Rahayu Abdul Rashid menolak semua mitos yang tersebar berkenaan isu ini.

Kata Dr Aimi, tiada bukti dalam kajian perubatan yang mengatakan ais mengakibatkan perut buncit.

Menurutnya, suhu air sejuk yang diminum akan berubah secara semulajadi mengikut suhu normal badan manusia iaitu 37 darjah celcius.

"Sebenarnya penyebab perut buncit ialah apabila kita mengambil minuman sejuk yang mengandungiu kalori.

"Ais berkalori terjadi sekiranya anda mencampurkannya dengan gula, krimer atau air berkabonat," katanya kepada mStar Online.

Wanita dalam pantang pun boleh minum ais!

Jelasnya, mekanisme sama juga berlaku terhadap wanita yang sedang berpantang selepas melahirkan anak.

"Ibu yang baru bersalin memang akan hadapi masalah perut buncit. Namun ia disebabkan lapisan lemak di bawah kulit.

"Ibu berpandang perlu hidrasi yang cukup kerana mereka menyusukan bayi.

"Jika merasakan minum ais boleh hilangkan dahaga, maka minumlah tapi dalam kadar sederhana," katanya.

Bagaimanapun, terpulang kepada anda sama ada ingin mengikut atau meneruskan amalan pantang seperti yang diturunkan nenek moyang asalkan ia tidak memudaratkan diri sendiri!

ais , perut buncit , wanita , berpantang
Semua
Hiburan
Berita
Variasi