suria

Teringin nak kahwin awal? Ketahui dulu kesan seks usia remaja

TIDAK dinafikan berkahwin pada usia muda dapat mengelak daripada perkara-perkara maksiat.

Namun, ramai daripada masyarakat kita yang terlepas pandang soal usia yang sesuai untuk mendirikan rumahtangga mengikut amalan perubatan.

Ini kerana hubungan kelamin pada usia awal menjadi antara faktor wanita diserang kanser servik.

Menurut Pegawai Perubatan Kesihatan Wanita dan Kehamilan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Muhammad Izzat Abdul Razak, sistem ketahanan badan atau sistem imuniti pada pangkal rahim remaja belasan tahun belum lagi matang serta tidak mampu melawan jangkitan.

"Jika terdapat jangkitan kuman khususnya jangkitan Human Papillomavirus (HPV) pada lokasi transformation zone  (pangkal rahim) akan menyebabkan sistem badan seseorang remaja tidak berupaya menangkis serangan jangkitan.

"Jika hal ini berlaku secara berterusan di mana virus itu menyerang individu terbabit, ia akan menyebabkan sel-sel yang normal pada pangkal rahim berubah menjadi sel tidak normal, sekaligus akan menjurus kepada pembetukan kanser servik," katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun Dr Muhammad Izzat berkata, kanser servik boleh dicegah jika seseorang wanita itu menjalani kehidupan sihat dan tidak terjebak dengan aktiviti sosial seperti pengambilan minuman keras, merokok atau memulakan aktiviti seksual pada usia terlalu muda.

Selain itu katanya, penjagaan kebersihan alat sulit juga boleh mencegah jangkitan kuman yang akhirnya boleh terdedah kepada masalah kanser servik.

Justeru golongan wanita digalakkan untuk menjalani ujian pap smear secara berkala bagi membantu mengesan tanda-tanda awal kanser servik!

pap smear, kahwin awal, kanser servik


Video Selebihnya

Semua
Hiburan
Berita
Variasi